Salam Reformasi

Editor 1 Komentar

19hb Feb 1999

 

Artikel kali ini akan membicarakan sesuatu yang amat serius tetapi terpaksa dibicarakan agar masalah ini ditangani sekarang sebelum terlambat.Artikel ini sealiran dengan amaran yang dikeluarkan oleh Sdr Anwar Ibrahim tentang kegusarannya akan permainan isu perkauman oleh Barisan Nasional dalam usaha terakhirnya mengaut undi masyarakat Cina,India dan kaum lain. Kegusaran ini bukan sahaja membolehkan mereka mengaut undi dari bangsa bangsa lain tetapi memperalatan isu perkauman dan menggunakannya sebagai satu senjata adalah langkah merbahaya dan sepatutnya dielakkan. Sebarang kesilapan boleh menyebabkan persengketaan antara kaum dinegara kita ini. Kita mesti dengan tegas memaklumkan kepada semua bangsa dinegara kita ini bahawa REFORMASI ADALAH MENUNTUT KEADILAN DAN KEADILAN INI ADALAH UNTUK SEMUA BANGSA.

MUNGKINKAH ISU PERKAUMAN DIGUNAKAN OLEH BARISAN NASIONAL SEBAGAI SENJATA UTAMA MEREKA?

Melihat dari kedudukan politik di Semenanjung Malaysia khususnya, PAS telah menjadi parti alternatif utama dalam menempuh pilihanraya akan datang. Melayu khususnya telah mula beralih melihat kepada PAS sebagai alternatif kepada UMNO setelah UMNO dimusnahkan oleh Dr Mahathir Mohamed serta kroninya. Kebangkitan PAS jelas dilihat setelah Sdr Anwar Ibrahim melaungkan Gerakan Reformasi dinegara kita ini. Merujuk kepada media Harakah sebanyak 71,000 ahli baru sepanjang gema reformasi dilaungkan. Ini tidak mungkin dicapai sebelum ini kata Sdr Fahdil Noor selaku presiden PAS. PAS dengan ini adalah dalam langkah menjayakan satu penyatuan MELAYU dibawah satu parti yakni PAS. Kejayaan dan kesan laungan Reformasi banyak menguntungkan parti pembangkang ini. Tanda tanda PAS akan bangkit menjadi pencabar utama UMNO telah kelihatan. Tidak salah kalau kita katakan bahawa UMNO adalah diambang kejatuhan. UMNO akan tumbang dengan pengalihan fahaman politik ahli ahli UMNO kepada PAS. UMNO sedar akan kemungkinan mereka akan tewas. Apahelah UMNO dan apakah langkah UMNO lagi.

MAHATHIR MULA MELAUNGKAN BARISAN NASIONAL ADALAH GABUNGAN PARTI TERBESAR YANG DAPAT MENYATUKAN SEMUA KAUM DIMALAYSIA

Apa yang jelas sekarang adalah Mahathir akan melawat keseluruh negara bagi mendapatkan atau sebagai langkah terakhir mengaut baki baki undi untuk membolehkan lagi beliau atau setidak tidak kroni beliau memimpin negara.Dimulakan di Sabah, Mahathir telah memaklumkan bahawa penyatuan antara kaum adalah kerana Barisan Nasional dan UMNO sebagai komponen terbesar. Isu ini telah mula dibangkitkan oleh Dr Mahathir dan Abdullah Badawi dalam setiap ucapan "kempen bersama rakyat" .Tidak dapat kita nafikan bahawa Barisan Nasional merangkumi majoriti kaum kaum terbesar di Malaysia. Menakut nakutkan rakyat akan bahaya pergeseran kaum sekiranya parti lain dilantik khususnya PAS adalah modal penting dan modal yang amat merbahayakan usaha PAS memerintah negara pada tahun ini. Beberapa cabaran telah dibuat oleh UMNO utuk membuktikan bahawa tidak ada persefahaman antara PAS dan kaum kaum lain di Malaysia. UMNO baru baru ini mencabar Sdr Lim Kit Siang (DAP) untuk memaklumkan bahawa kesanggupan DAP bersekutu dan mendokong cita cita PAS. Harakah Jumaat 19hb Feb 1999 juga melihat bayangan ketidak sudian DAP untuk sama sama menerima usul dan cita cita PAS untuk membentuk NEGARA ISLAM atau "ISLAMIC STATE". Peluang ini adalah senjata bagi UMNO. UMNO dengan sokongan MCA,MIC dan komponen komponen lain diMalaysia pasti akan menggunakan isu ini sebagai senjata untuk mereka.

MENAKUT NAKUTKAN RAKYAT DAN MENGINGATKAN PERTISTIWA 13 MEI 69 ADALAH SENJATA MURAHAN TETAPI BERKESAN

Siapa yang mahukan peristiwa itu berulang kembali. Nescaya itu tidak diingini dan harus dielakkan. Peristiwa hitam itu cukup memberi kesedaran bahawa penyatuaan dan kesefahaman kaum perlu dan mesti ada. Rakyat pastinya menolak sebarang agenda yang akan membawa Malaysia kembali kepada peristiwa hitam tersebut. Penolakkan ini memberikan bonus dan lebihan kepada Barisan Nasional dan kelebihan ini berkemungkinan membawa kejayaan kepada pendokong kezaliman yakni Dr Mahathir Mohamed. Apakah kita masih mahu Dr Mahathir memerintah lagi? Semestinya tidak dan semestinya beliau kita usahakan untuk digugurkan dari terus memerintah negara kita ini. Tidak hairan kalau Mahathir melaungkan pula slogan Barisan Nasional ada MCA dan MIC serta komponen lain dan PAS cuma ada PAS dan NGO seperti ABIM, JIM dan sebagainya. PAS tidak menyakinkan kaum lain dan isu ini akan menjadi penghalang kepada kejayaan.

APA AKAL KITA

Sedang sibuk Dr Hassan Ali dan warga PAS menyiarkan wadah agama dan pengertian Islam UMNO sibuk berkempen untuk penyatuan antara kaum. Sibuk menjadikan ini sebab untuk menolak PAS. Walaupun rasa kesal untuk diperkatakan tetapi hakikat perlu diterima. Kebenaran sistem kempen ini berkemungkinan memberi peluang kepada Dr Mahazalim tersebut memegang pucuk pimpinan lagi. Itu adalah sesuatu yang tidak ingin kita lihat. Kita tidak mahu Dr Mahathir memerintah lagi. Apa akal kita dan apa yang seharusnya dilaksanakan oleh PAS dan pendokong reformasi yang lain. Ini adalah apa yag sebenarnya dirisaukan oleh Sdr Anwar Ibrahim. Sdr Anwar Ibrahim turut memaklumkan bahawa masyarakat cina merangkumi 1/3 dari jumlah 22 juta kependudukan Malaysia. Rata rata kata beliau masyarakat Cina menyifatkan gerakan reformasi adalah sebagai "a malay issue". Ini perlu dikikis dan perlu di beri penerangan dengan lebih mendalam lagi. Usahakan dan fikirkan lah.

KAGUM MELIHAT AHLI PAS DISETIAP PERHIMPUNAN MEREKA

Tidak malu saya katakan bahawa wadah perjuangan UMNO saya berkecai dengan perbuatan Mahathir dan kuncu kuncunya pada Sdr Anwar Ibrahim serta pencabulan mereka terhadap sistem perundangan kita. Tidak malu saya katakan bahawa hasrat kecil saya telah mula merujuk kepada PAS sebagai satu alternatif perjuangan. Kehadiran ahli yang begitu ramai dan laungan ALLAH MAHA BESAR menyemarakan semangat perjuangan ini. Walau apa pun penghinaan kepada UMNO secara keseluruhan akan menyebabkan ramai ahli UMNO yang tidak menentu arah jalan berbalik kepada UMNO. Ikhlas saya katakan bahawa apa yang dikatakan oleh Dr Hassan Ali dalam penyindirannya terhadap UMNO membuat langkah ramai ahli UMNO beku dan terus kembali kedalam kebingungan. Tidak salah saya katakan bahawa ada kebenaran slogan dalam laman ini yang mengatakan DULU UMNO SEKARANG KONFIUS. Ramai anggota UMNO telah lama terbabit dalam mendukung perjuangan UMNO. Membuang ketepi perjuangan yang telah lama didokong bukanlah suatu yang mudah. Mereka telah lama berjuang dalam parti tersebut. Mereka juga terdiri dari ahli yang mengucap dua kalimah syahadat dan mengaku bahawa tiada tuhan melainkan Allah dan Nabi Muhammad Persuruh Allah dalam hidup dan mati mereka. Mereka tidak berdosa dalam UMNO , mereka tidak pernah menyangka bahawa pucuk pimpinan mereka terdiri dari mereka yang pentingkan kuasa untuk motif tersendiri. Maka kritikan terhadap UMNO secara menyeluruh sedikit sebanyak meletakan mereka jauh dan melangkah pergi,berlalu dari PAS. Biar saya berterus terang, setidak tidaknya pengalaman ini akan membuka corak dan aliran baru bagi PAS untuk memulakan langkah memimpin negara kita ini dengan lebih berkesan tanpa kroni,tanpa nepotisma dan tanpa korupsi. Bukalah aliran baru dalam sama sama membantu parti parti lain dari golongan pembangkang untuk sama sama mendukung aliran reformasi baru dalam negara ini. Secara ikhlas saya katakan bahawa PAS adalah alternatif kami. Kebekesanan PAS akan lebih terserlah lagi dengan penerangan cara baru pemerintahan ,sistem dan perlaksanaan kerajaan baru dan penerimaan PAS kepada perhubungan antara perkauman.

IKHLAS SAYA SEDIA MEMBANTU

HARAPAN SAYA ADALAH PEMBELAAN KEPADA ANWAR IBRAHIM DAN MERUNTUHKAN REGIM ZALIM MAHATHIR