SELAMATKAN REFORMIS KITA

Komentar 11/2/2000

Komentar sekali lagi mengesa agar kepimpinan Parti Keadilan Nasional menyelamatkan reformis kita yang telah banyak berkorban khususnya mereka yang membentuk Gerakan Reformasi Jalanan setelah Sdr Anwar Ibrahim ditangkap. Reformis-reformis awalan perjuangan ini telah mengorbankan hampir segala-galanya demi perjuangan menuntut keadilan dan berusaha membebaskan Sdr Anwar Ibrahim. Malangnya apabila mereka digesa memasuki Parti Keadilan Nasional untuk menyempurnakan tuntutan demokrasi mereka kini terpinggir oleh beberapa kerat kepimpinan yang kononnya berpolitik. Bukan sahaja mereka menyingkir reformis tersebut malah tektik dan teknik yang dilaksanakan amat kotor sekali. Kalau budaya fitnah dianggap oleh mereka politik maka mereka harus terus disingkir dari kepimpinan parti. Ramai antara reformis yang ada sekarang sudah mula kendur akibat tekanan bukan dari kerajaan tetapi dari Parti sendiri. Tidak ada yang paling menyakitkan melainkan perjuangan mereka dikhianati oleh Parti Keadilan Nasional sendiri. Komentar dari awal lagi turut bersama mereka dalam perjuangan ini. Komentar melihat semangat mereka dibakar dan takbir mereka menyemarakkan perjuangan jihad ini. Mereka berani kehadapan menyahut seruan Sdr Anwar Ibrahim " jika takut menanggung risiko usah bicara tentang perjuangan". Langkah mereka berani dan perjuangan mereka suci.Ada antara mereka yang tertangkap tetapi keluar dan terus memperjuangkan tuntutan reformasi. Lawan Tetap Lawan disemarakkan dan hasilnya terbongkar kepincangan kerajaan dan semangat rakyat membuak mahukan perubahan. Komentar pernah bertanya kepada mereka yang pernah ditahan dibawah Akta Kejam ISA samada mereka kesal atas apa yang mereka perjuangkan. Namun dari apa yang dapat Komentar rumuskan ialah "perjuangan tidak ada makna sekiranya perkataan kesal wujud dalam jiwa" Mereka bangkit setiap hari mendesak perubahan. Mereka kumpulkan tenaga menuntut pembebasan Sdr Anwar Ibrahim. Mereka lakukan tanpa takut,tanpa memperdulikan risiko dan rela atas nama perjuangan. Komentar terus terpegun melihat perjuangan mereka masa itu. Sekarang mereka masih ada lagi. Cebisan kekesalan tidak pernah ada. Kekecewa jelas meragut percakapan dan perbualan mereka sekarang. Perjuangan mereka kini telah diambil alih oleh platform politik tuntutan demokrasi. Mereka terpinggir dan terus dikecewakan. Semangat juang ada tetapi pupus dikhianati agenda yang sudah bercabang-cabang. Kemana mereka sekarang ini? Komentar memohon kepada politikus-politikus keADILan yang ada, SEDARLAH bahawa mereka wujud takkala perjuangan mempunyai risiko yang amat tinggi dan kamu wujud takkala demokrasi menjemput kita kepada pilihanraya.

CARILAH MEREKA KEMBALI. MEREKA TAHU ERTI PERJUANGAN SEBENARNYA.