BINA WADAH ATAU JADI BEDEBAH

Komentar 29/2/2000

Sekali lagi kita digembarkan dengan kelancangan komen Chandra terhadap Sdr Anwar Ibrahim. Apakah yang sedang berlaku dalam keADILan itu sendiri sehinggakan kebiadapan Chandra hanya dibiarkan oleh kepimpinan MPT. Apakah kehebatan mereka membongkar dan melawan kerajaan di hantui dengan ketakutan yang amat sangat kehadap Chandra. Chandra berlaku biadap sekali lagi pada program Bina Wadah anjuran Pemuda dan Wanita keADILan. Sampai bila harus kita biarkan Chandra ini mengeluarkan kenyataan-kenyataan sumbangnya. Apakah telinga kita telah berubah menjadi batu, apakah mata kita juga seperti batu, apakah minda kita juga menjadi batu, keras dan beku tanpa mahu melihat,mendengar dan berfikir. Apakah wadah yang sebenarnya dibawa oleh Chandra. Semua MPT tahu apakah yang dipertuturkan oleh Chandra pada hari itu. Apakah dengan caciannya terhadap Bapa Reformasi kita harus dibiarkan berlarutan. Tanya sama Lokman, tanya sama Ezam , tanya sama Pemuda dan Wanita yang hadir apakah komen biadap Chandra. Jangan ditanya pada hud-hud tanya sama itu MPT. Komentar amat terkilan sehingga untuk menulis komen Chandra dalam Laman ini pun terasa jijik. Chandra, wadah apa yang cuba kamu bawa ini. Arah mana yang cuba kamu bawa perjuangan ini. Komentar berpegang kuat pada perjuangan hasil tajaan Anwar Ibrahim. Pengorbanan beliau menjadi semangat dan menjadi teladan kepada kita. Sebagaimana Sdr Ezam pernah berkata " Anwar mengajar kita jadi pejuang membela kebenaran,keadilan dan menghapuskan kezaliman. Apakah kini kamu (Chandra) mahu berlaku zalim dengan Sdr Anwar Ibrahim. Kalau Rahim Noor menghentak Sdr Anwar dengan penumbuknya sambil tangan diikat dan mata ditutup,kamu Chandra menghentak beliau dengan komen-komen biadap kamu sedang kamu tahu suara beliau disekat oleh tembok penjara Sungai Buluh. Apakah semua ini harus dibiarkan oleh MPT. Apakah semua ini disenyapkan oleh MPT. Apakah kesemua MPT terus terkulai bila berdepan dengan Chandra.

Lantas,

Ini bukan bina wadah tetapi ura-ura untuk jadi bedebah pada perjuangan Anwar Ibrahim. Komentar tidak akan diam.

Komentar