ANTARA REFORMIS,BEKAS UMNO,BEKAS S46 DAN NGO

Komentar 30/12/99

Benarkah kumpulan-kumpulan ini wujud dalam keADILan dan mereka terus membawa budaya masing-masing dalam meneraju Parti Keadilan Nasional? Budaya apakah yang dimaksudkan ini? Apakah kolektif mereka lebih mengukuhkan parti atau lebih membawa kepada perpecahan dalam parti?. Apa benarkan antara kepimpinan ini cuba sedaya upaya membawa kumpulan mereka ketengah dan terus menerajui keADILan. Pelbagai persoalan wujud dan persoalan-persoalan ini perlu ditangani sebelum kita memasuki pusingan terakhir menuju ke pilihanraya ke 11. Kita berdepan dengan persoalan ini dan kita cari jalan tengah untuk menyelesaikan masalah ini. Kita harus mengupas satu-persatu tanpa prajudis,tanpa gentar dan ragu-ragu. Kita bukan membuka pekong didada untuk memalukan diri tetapi kita lebih kepada membuka pekong untuk mencari ubat dan penawar.

Kita sedar kepimpinan keADILan terdiri dari mereka yang datang dari pelbagai platform pertubuhan. Kita lihat Chandra dengan JUST nya, Tien Chua dengan SUARAM, Ruslan Kassim bekas UMNO, Marina Yusof bekas S46 dan serpihan UMNO dan Annuar Tahir dari gerakan ABIM. Mereka hadir dengan pelbagai teori dan pelbagai strategi yang mungkin boleh menjana kejayaan dalam pilihanraya ke 10. Jelas setakat ini segala strategi mereka mempunyai fundamental yang satu yakni : BERGANTUNG PADA "MOOD RAKYAT" untuk memenangi pilihanraya dan berpegang hanya dengan "mood rakyat" lah, yang menyebabkan kita masih tidak memegang kerajaan atau tewas dalam pilihanraya. Kita harus selain dari terlalu ghairah membongkar kepalsuan dan penipuan kerajaan BN dalam pilihanraya ke 10, harus juga melihat kelemahan kita yang sekiranya tidak dibendung akan menjadi parasit dalam keADILan. Contoh contoh yang paling ketara adalah di TANAH LAHIR REFORMASI yakni Wilayah Persekutuan. Semua calon DAP berjaya dalam pilihanraya tetapi calon keADILan semua tewas. Ini KUALA LUMPUR, INI TEMPAT MULANYA REFORMASI dan KUALA LUMPUR adalah kubu kuat reformasi. Kenapa kita kalah. Kenapa kita tewas. Apakah kita lalai atau terlalu ghairah dalam melihat sokongan rakyat sehingga jentera pilihanraya terus diabaikan. Atau mungkin juga kerana Wilayah Persekutuan sebelum menghadapi pilihanraya telah menghadapi pilihanraya dalaman yang rata-rata menyebabkan beberapa pepecahan dalam bahagian.Sekiranya benar Kuala Lumpur berbalah dan bergolak yang menyebabkan keADILan tewas maka siapa harus bertanggungjawab? Sudah semestinya AJK PERHUBUNGAN NEGERI yang bertanggung jawab. Apakah mereka yang bertanggung jawab atas pemecahan Kuala Lumpur ini patut dibiarkan sehingga kita sampai ke gelanggang pilihanraya ke 11?

Yang pasti satu ! Reformis yang benar-benar memperjuangkan keadilan dan berusaha dalam cara apa sekali pun untuk membebaskan Sdr Anwar Ibrahim TERSEPIT di tengah-tengah percaturan politik dalam keADILan. Keadaan ini benar-benar menghampakan mereka menyebabkan perjuangan menuntut keadilan menjadi hambar tanpa maya. Kita tidak boleh membenarkan perkara ini berlaku. Kita harus mula mengorat langkah bagi meminimakan manipulasi politik dan melebihkan usaha dan penyatuan dalam mengukuhkan parti untuk menuju kearah pilihanraya ke 11.

Gesaan Komentar adalah supaya mereka yang terlalu daif dalam berpolitik, terpengaruh dengan budaya politik lama yakni UMNO dan S46,mempunyai agenda dan cita-cita tersendiri untuk UNDUR dan MEMBERI LALUAN KEPADA PEJUANG REFORMASI MENEGAKKAN KEADILAN DAN MEMBELA SDR ANWAR IBRAHIM.

Kita nekadkan kembali perjuangan membela Sdr Anwar Ibrahim tanpa meletakkan agenda peribadi sebagai matlamat menyertai Parti Keadilan Nasional.