ANWAR MENGECAM MAHATHIR MEMPERALATAN SISTEM KEHAKIMAN

 

SURAT ANWAR IBRAHIM

21/4/2000

 

Keengganan Dato Seri Dr Mahathir hadir di amhkamah sebagai saksi amat dikesali. Setelah menghebohkan pelbagai tohmahan mengaibkan terhadap saya, beliau tidak berani , tidak mempunyai kekuatan moral untuk menghadirkan diri, memberi keterangan dengan benar serta mempertahankan tohmahan beliau.

 

Berdasarkan keterangan, eksibit, affidavit termasuk oleh Dr mahathir sendiri , yang dibentangkan di mahkamah, beliau tetap merupakan saksi penting . Tidak terdapat sebarang alas an munasabah dan rasional untuk belaiu berdegil, mencari dalih dan helah untuk tidak datang ke mahkamah selain dari rasa takut dan gementar kerana telah terang lagi kebongkaran mengenai pakatan jahat , perencanaan konspirasi memperalatkan jentera kerajaan termasuk melalui mereka cipta keterangan.

 

Lebih nakal dan parah lagi ialah jesteru keputusan tersebut menunjukkan bahawa Dr M boleh bertindak bebas dan sewenang-wenang; seolah-olah dikecualikan dari sebarang kemungkinan tindakan oleh mahkamah.Bahkan beliau sanggup mengenepikan sapina meskipun sering berpura-pura mengungkapkan kenyataan manis menghormati dan mematuhi undang-undang, termasuk kenyataan awalnya bahawa beliau bersedia menghadirkan diri dimahkamah. Setelah  saya bersungguh-sungguh menuntut beliau hadir , beliau seperti lazimnya akan berdolak dalih, memindahkan tanggungjawab kepada Hakim. Walhal, kita arif benar dengan kuasa eksekutif dinegara kita ini mengatasi semuanya.

 

Kini nyata sudah bahawa dengan pindaan perlembagaan membatalkan peruntukkan mengenai kekebalan Raja-raja, Dr M seorang sahaja di Malaysia yang nampak kebal dari proses undang-undang. Maka , sigagah perkasa yang mengaum seperti singa , dengan tidak semena-mena kecut dan lari bagaikan seekor tikus, runsing dan gelabah memikirkan kemungkinan disoal atau dihujah oleh peguam-peguam saya.

 

Kegagalan Dr M untuk hadir dimahkamah akan menafikan hak saya mengemukakan keterangan serta peluang menghujah balas. Beliau mempunyai fakta dan mengetahui urutan peristiwa disebalik pakatan jahat dan keseluruhan komplot permainan kotor tersebut. Adalah jelas bahawa dalam kes seterang ini sekalipun , langkah-langkah terus diambil untuk menafikan saya hak perundangan yang sah.

 

Sesungguhnya prinsip asasi undang-undang dicabuli dan proses undang-undang tercabar. Ia melambangkan keadaan yang dialami di Malaysia walaupun di selubungi dengan gambaran demokrasi serta dipertahanan dengan  “ “ system keadilan.

 

Anwar Ibrahim