KOMENTAR

GERAKAN REFORMASI RAKYAT

30.05.2000

 

SALAM REFORMASI,

 

Peperangan untuk memenangi kerusi Teluk Kemang bermula. Bertafakur seketika oleh Laman Web mengakibatkan kami terus dilebelkan sebagai ajen UMNO oleh dua kepimpinan kita Chandra Muzaffar dan Annuar Tahir. Apa pun kenyataan mereka ini akan kami kenang sehingga akhir hayat perjuangan ini dan hayat kami. Kenyataan hanya menampakkan yakni betapa murahnya anggapan mereka kepada ketelusan sesuatu perjuangan. Komentar berbangga dengan kenyataan-kenyataan seperti Sdr Zunar yang lebih “matang” dari kenyataan Setiausaha Agung keADILan. Sdr Zunar seorang “kartunis” dapat mempamerkan kenyataan yang lebih proaktif yang boleh mengibaratkan beliau sebagai seorang Setiausaha Agung berbanding dengan kenyataan Annuar Tahir yang lebih mirip kepada karaktor seorang “kartun”.

 

Kenyataan Media Datin Seri Wan Azizah yang diemail kepada kami oleh Chandra Muzaffar ( LAMPIRAN EMAIL KLIK SINI ) hanya menunjukkan bahawa Timbalan Presiden Chandra Muzaffar terpaksa berselindung dibelakang Datin Presiden demi mendapatkan sokongan. Satu “defence” yang tidak profesional dibuat oleh Chandra Muzaffar. Desakan Chandra Muzaffar keatas Datin Presiden untuk menyelamatkan beliau hanya menunjukkan kurangnya kredibiliti beliau dalam menangani teguran dan kritikan keatas beliau.

 

Sdr Chandra dalam membentuk satu “defence” bagi dirinya dengan rakus mengkritik pengusaha-pengusaha Laman dan bertindak memuji dirinya sendiri sebagai orang yang berjasa kepada parti. Sikap memuji diri sendiri dan bertindak memuji Annuar Tahir adalah satu reaksi yang menyamakan mereka dengan budaya “Mahathirism” yang menuntut kononnya budi yang telah ditabur oleh dirinya sendiri.   

 

Inilah yang menjadi kegusaran pengelola Laman Web Reformasi. Pengelola Laman Pro Reformasi  sedar telah berlaku satu fenomena pemusatan kuasa dalam keADIlan serta strategi percaturan tempat dan jawatan oleh Sdr Chandra dan Sdr Annuar Tahir. Kehadiran fenomena ini harus dikikis kerana Parti Keadilan Nasional berorentasikan parti milik rakyat dan terbentuk  hasil laungan rakyat atas kesedaran yang di beri oleh Sdr Anwar Ibrahim.

 

Malangnya Sdr Annuar Tahir telah memaklumkan bahawa kritikan dan desakan kita tidak diperlukan oleh parti kerana kita berada diluar senario parti. Ini merupakan satu kenyataan pembelaan kerana kami percaya ini adalah kenyataan peribadi beliau dan bukan parti.

 

Apa pun perjuangan ini tidak berakhir setakat ini sahaja. Sdr Chandra dan Sdr Annuar Tahir masih diperhatikan oleh kami. Menolak suara kami tidak jauh bezanya seperti menolak suara minority rakyat yang turut berjuang untuk kemenangan parti.

 

Demi perjuangan untuk menegakkan keadilan, demi menuntut islah dan reformasi , kami teruskan perjuangan menentang ketidakadilan dan kezaliman Barisan Nasional. Kami berdiri teguh dibelakang laungan reformasi Sdr Anwar Ibrahim. Bagi kami, kami mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengirim email yang begitu prihatin terhadap insiden ini.

 

Akhirkata “Komentar akan tetap berjuangan untuk mengembalikan perjuangan ini kepada landasan awalnya.

 

REFORMASI~REFORMASI~REFORMASI

 

Bentara Radikal

KOMENTAR