DIOKSIN

Pengenalan

Pertengahan Jun 1999 telah mengejutkan rakyat Malaysia dan juga kebanyakkan negara-negara Asean mengenai penemuan dioksin dalam hasil tenusu yang diimport dari Eropah khasnya Belgium. Kebanyakkan barangan dari negara tersebut telah ditarik semula dari pasaran mengakibatkan kerugian yang amat besar. Fenomena ini juga turut memberi kesan terhadap produk-produk dari negara Eropah lain dari segi pandangan masyarakat dunia tentang kekhuatiran mereka akan produk-produk dari negara Eropah lain turut juga tercemar dengan bahan kimia ini. Mengapakah bahan kimia ini menjadi isu yang cukup sensitif ?

Dioksin merupakan salah satu bahan kimia yang amat toksik kepada manusia dan alam sekitar. Suatu laporan yang telah dikeluarkan oleh Agensi Perlindungan Alam Sekitar US (US Environmental Protection Agency) untuk maklum balas orang ramai pada September 1994 telah menunjukkan bahawa dioksin merupakan ancaman kepada kesihatan masyarakat yang amat serius. Kesan dioksin kepada manusia dan alam sekitar dikatakan setara dengan kesan DDT yang amat menakutkan pada tahun 1960-an. Manakala Agensi Penyelidikkan Kanser Antarabangsa (IARC) yang merupakan salah satu agensi di bawah WHO telah membuat satu pengumuman pada 14 Februari 1997 iaitu Dioxin ataupun nama piawainya 2,3,7,8-TCDD disahkan sebagai bahan karsinogen kelas pertama.

 

Dioksin.

Dioksin merupakan sejenis bahan kimia yang terhasil dari tindakbalas sebatian semulajadi dan juga sintetik. Secara sintetiknya, dioksin adalah hasil sampingan produk yang terbentuk secara tidak sengaja semasa:
i. Proses Industri
ii. Sisa organik yang terbakar dengan kehadiran klorin; pembakaran PVC, PBB, PCB dan sisa perubatan
iii. Racun makhluk perosak
iv. Penapisan petroleum
v. Napkin wanita dan pakai buang, industri tampon
vi. Peleburan dan penapisan logam.

Tiga syarat diperlukan bagi pembentukkan dioksin iaitu:
-Kehadiran sumber klorin.
- Kehadiran petanda dioksin seperti bahan organik (kandungan karbon) atau hidrokarbon aromatik (berstruktur cincin seperti benzena)
- Kuantiti haba yang mencukupi atau persekitaran reaktif di mana bahan-bahan ini dapat bergabung atau dicantumkan bagi menghasilkan dioksin.

Antara ciri-ciri dioksin ini ialah:
- Tidak menyejat sebagai gas pada suhu lazim.


- Tidak larut dalam air.


- Secara saintifiknya ia adalah salah satu bahan kimia yang amat beracun.* dan ianya tergolong dalam bahan kimia yang dikenali sebagai dibenzodioksin berklorin (PCCDD atau Polychlorinated dibenzodioxins.


- Berkecenderungan meresap ke dalam sel lemak sebelum mencetuskan gangguan atau penyakit dan juga ia tidak akan dikumuhkan ke dalam air kencing,


- Ia mendap secara berkesan kepada bahan bahan berorganik dalam tanah dan mendapan.


- Dari segi kimia ianya merupakan sebatian yang agak stabil dan jika ianya tercemar ke dalam tanah akan mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk kepekatannya berkurang kepada setengah dan ini bergantung kepada keadaan persekitaranya seperti suhu, kandungan oksigen sekeliling dan juga kehadiran cahaya ultra-lembayung. Semakin dalam dioksin kedudukkan dioksin dari permukaan bumi semakin lama ia akan kekal di dalamnya.


- Di dalam badan manusia, ia akan mengambil masa 6-11 tahun untuk mengurangkan kepekatanya kepada setengah.

Disebabkan dioksin ini merupakan bahan yang amat beracun maka sudah pasti ianya akan mendatangkan kesan-kesan biologi dan biokimia. Di antara kesan-kesannya adalah seperti berikut:

Melihat pada realiti pada masa sekarang, sememangnya dioksin berada di mana-mana sahaja cuma bezanya dari segi kuantiti (kandungan dan kepekatan). Peristiwa keracunan dioksin di Belgium telah membuka mata rakyat Malaysia bahkan rakyat yang mempunyai hubungan dagangan produk makanan dengan negara Belgium terhadap kedudukan mereka sebagai pengguna makanan industri. Walaupun tindakkan menarik kembali semua produk-produk tersebut mengambarkan sikap bertanggungjawab pihak pengeluar namun kekhuatiran serta syak wasangka pasti akan timbul mengenai keselamatan makanan serta produk-produk makanan yang beredar di pasaran. Kajian telah menunjukkan bahawa dioksin ini masuk ke dalam organisma dan manusia dengan cara yang amat mudah.

Dioksin memasuki ke dalam badan manusia samada melalui rantaian makanan, melalui kulit dan udara yang tercemar. Biasanya pergerakkan dioksin terbatas kepada tanah yang dicemari yang terbang sebagai debu bawaan angin atau hakisan tanah daripada tindakkan air. Tisu tumbuhan menyerap sedikit dioksin daripada tanah tetapi partikel dioksin bawaan udara dengan mudah mendap ke dalam dedaun pokok. Apabila tanah yang dicemari dihakiskan, rantaian makanan akuatik akan menjadi sasaran seterusnya.


Dioksin di udara bergantung kepada tanah, air dan tumbuhan. Kita mungkin menyedut udara kotor yang mengandungi tanah yang dicemari itu. Kita mungkin memakan tumbuhan yang penuh dengan dioksin, binatang ternakan yang memakan makanan sarat dengan dioksin (yang boleh dicemari pada sebarang peringkat tumbuhan atau pemprosesan), ikan dan cengkerang yang hidup dalam air yang tercemar dengan dioksin. Dioksin juga boleh ditemui dalam banyak jenis lemak yang dimakan seperti tisu lemak binatang, susu dan juga minyak masak. Dalam badan kita, dioksin mungkin sudah lama berkumpul bahkan kemungkinan sejak lahir, malangnya melalui sus ibu. Dengan sedikit pendedahan, ianya mungkin mampu menjejaskan kesihatan manusia pula. Walaupun sedikit pendedahan pun, tidak boleh dikatakan bahawa kita masih berada di paras selamat.

 

 

 

Antara Kes-Kes Kemudaratan Yang Berkaitan Dengan Dioksin.


Kes Di Seveso, Itali. (Awan Dioksin)
Pada tahun 1976 ketika pengeluaran trichlorophenol (sejenis chlorophenol) tindak balas telah berlaku hingga membebaskan awan dioksin yang telah menyebabkan kira-kira 4% haiwan peliharaan mati serta-merta. Di samping itu ramai penduduk mengalalmi klorakne (kerosakkan kulit seakan-akan akne). Penyakit jantung dilaporkan telah meningkat dari masa ke semasa dan sesetengah laporan telah menyatakan kanak-kanak di kawasan tersebut mengalami masalah dalam sistem imunisasi tubuh.

Kes Di Indo China (Agen Orange)
Semasa perang vietnam meletus, Amerika Syarikat telah menyembur lebih 100 juta paun Agen Orange, racun herba 2,4,5 T ketika Perang Vietnam untuk memusnahkan tempat persembunyian musuhnya. Akibatnya, tidak lama kemudian daun-daun pokok di kawasan semburan telah layu dan gugur dengan mendadak. Pada penghujung 1970-an, askar-askar veteran vietnam dilaporkan menghidapi kanser, kebas, berdesing secara keterlaluan, ruam, gatal, hati gagal berfungsi, kemandulan, hilang nafsu seks sementara anak-anak mereka rata-ratanya cacat. Inilah kesan jangka panjang yang hebat dioksin yang berasal dari agen orange yang telah disemburkan dahulu, namun begitu ianya sukar terlupus begitu sahaja malahan masuk ke dalam rantai makanan.

Kes Di New Zealand (Racun Pokok)
Dalam tempoh seminggu, ibu-ibu yang mendiami kawasan perumahan yang sama melahirkan 3 orang bayi dengan kecacatan otak. Sembilan bulan sebelumnya itu, bahagian pinggir jalan di kawasan perumahan tersebut telah disembur dengan sejenis racun herba yang diketahui dicemari TCDD. Malangnya tiada bukti yang sahih dan jelas bahawa ketiga-tiga kejadian itu saling berkait.

Kes Di Perancis (Pencemaran Produk Tenusu)
Susu lembu dari ladang ternakkan yang terletak berhampiran dengan tempat pembakaran sisa pepejal didapati dicemari paras dioksin berlebihan, menurut Guardian (London) 16 September, 1997, paras dioksin yang berlebihan ditemui ketika musim panas dalam keju dan mentega keluaran Perancis dan menyebabkan penutupan tiga tempat pembakaran.

Kes Di Malaysia (Pencemaran Produk Tenusu Import)
Tiba-tiba Menteri Kesihatan membuat pengumuman mengharamkan sebarang bahan dan hasil tenusu dari Negara Kesatuan Eropah pada pertengahan tahun 1999. Serentak dengan itu pegawai kesihatan membuat pemeriksaan rapi untuk memastikan bahan-bahan seperti daging susu, keju dan beberapa jenis bahan makanan lagi di tarik dari rak-rak makanan di pasaraya-pasaraya. Tindakan ini adalah untuk melindungi orang ramai dari makanan tercemar dengan dioksin.

 

Inilah sebahagian isu yang telah ditimbulkan oleh dioksin dalam konteks negara-negara.
Antara faktor-faktor yang menyebabkan isu dioksin ini semakin berkembang dan sukar dibendung ialah:
1. Dioksin mudah terbebas dan dihasilkan secara sengaja dan tidak sengaja melalui sumber-sumber khasnya melalui pusat pelupusan sisa (pembakaran sisa pepejal) dan tidak kurang juga dari pelepasan industri.
2. Dioksin mudah tersebar melalui ejen-ejen seperti udara, air dan mudah tercemar ke dalam tubuh haiwan ternakkan dan tumbuhan yang merupakan sumber makanan bagi manusia kerana cirinya yang mudah larut dalam lemak, di samping itu sifatnya yang kekal dalam rantai makanan merupakan suatu aspek yang menambhakan sukar untuk membendung pencemaran dioksin ini.
3. Menurut seorang Pakar Keselamatan Makanan Pertubuhan Kesihatan Sedunia , Gerry Moy, adalah sesuatu yang melibatkan kos yang amat tinggi untuk menganalisa dioksin yang terdapat dalam makanan yang telah tercemar di samping memerlukan kepakaran dan peralatan makmal yang canggih serta mahal.

Sekiranya cadangan penyelesaian seperti di atas insyallah pencemaran dioksin ini mampu dihapuskan jika tidak pun ianya dapat dikurangkan kepada tahap yang seminima mungkin. Ini hanya akan berjaya jika semua pihak yang terlibat memberikan komitmen yang padu dan penuh kesungguhan.

 

Rujukkan:
1. Utusan Pengguna, Julai 1999, "Dioksin Untuk Produk Harian"
2. Media Kesihatan, Julai/ Ogos 1999. "Dioksin"
3. http://www.geocities.com/Area51/Vault/1534/juni/21/berita37533.htm