RAYUAN AZIZAN DAN NORHAYATI DITOLAK!

28 September, 1999

Mahkamah Tinggi Syariah Melaka semalam menolak permohonan khas oleh Azizan Abu Bakar dan isteri Norhayati Saad untuk merayu supaya mereka dibenarkan diikat jamin. Alasan yang diberikan oleh hakim Datuk Ibrahim Lembut, ialah kerana kedua-dua pemohon masih mempunyai masa untuk mengemukakan rayuan di Mahkamah Rendah Syariah.

Mahkamah Rendah Syariah Alor Gajah pada 22 September memerintahkan Azizan dan Norhayati yang menghadapi tuduhan berkhalwat dan cuba melakukan persetubuhan haram ditahan reman sehingga perbicaraan kes. Ketika kedua-dua ditahan, mereka belum berkahwin.

Azizan, 39 saksi utama kes perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Norhayati, 22, menghadapi tuduhan mengikut Seksyen 53 (1) dan Seksyen 53 (2) Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991.

Azizan, seorang pengurus jualan dan pentadbiran, dan Norhayati, penuntut sebuah sekolah perniagaan di Kuala Lumpur, berkahwin dua hari selepas ditangkap pada 16 September lepas. Masing-masing menghadapi tuduhan kedua mengikut Seksyen 52 EKSNM iaitu cuba melakukan persetubuhan haram.

Kes mereka akan dibicarakan di Mahkamah Rendah Syariah Alor Gajah hari ini.

Dalam afidavit itu, Azizan dan Norhayati mendakwa mereka dihalang membuat rayuan kerana kesuntukan masa iaitu masa antara perintah itu dibuat dan tarikh perbicaraan ialah enam hari.

Ibrahim bagaimananapun berkata: "Mahkamah tidak nampak di mana hak kedua-dua pemohon telah dinafikan seperti mana yang didakwa di dalam afidavit dalam permohonan yang dibuat." Katanya, dalam kes ini, masa yang diperuntukkan belum lagi tamat dan peraturan-peraturan belum dihalangi.

"Peluang seluas-luas tidak digunakan sebaik mungkin," katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Syarie, Eri Nizam Abu Samah dalam bantahannya berkata permohonan itu tidak sesuai dan tidak relevan kerana pemohon masih mempunyai tempoh rayuan 14 hari tetapi tidak berbuat demikian di mahkamah.

Azizan yang menjalani tahanan di Penjara Bandar Hilir di sini dan Norhayati yang ditahan di Penjara Kajang, turut berada di mahkamah itu yang dipenuhi oleh kaum keluarga mereka.

Hakim Mohammad Adib Hussain mengeluarkan perintah supaya pasangan itu ditahan selepas membenarkan permohonan Eri Nizam supaya mereka ditahan dengan alasan bahawa Azizan adalah saksi utama dalam satu kes penting.

Mohammad Adib berkata kes khalwat Azizan menarik perhatian ramai dan tertuduh merupakan seorang yang dikenali umum dan disebabkan kepentingan awam dan keselamatan, kedua-duanya perlu ditahan.

Azizan, dari Pangsapuri Dahlia A, Jalan 3/11, Bandar Selayang, Batu Caves, Selangor dan Norhayati, dari Jalan Mata Ayer, Kangar Perlis dituduh berkhalwat di bilik sebuah rumah di Jalan Indah 10, Taman Pengkalan Indah, Alor Gajah pada 16 September, jam 1.30 pagi.

Bagi tuduhan tambahan, mereka dituduh cuba melakukan persetubuhan haram di tempat dan waktu yang sama.

Tuduhan pertama terhadap mengikut Seksyen 53 (1), Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 membawa hukuman denda sehingga RM3,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-dua sekali.

Norhayati pula yang dituduh mengikut Seksyen 53 (2), enakmen yang sama, menghadapi hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara 24 bulan atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Bagi tuduhan tambahan mengikut Seksyen 52, kedua-duanya boleh dijatuhi hukuman denda RM5,000 atau 36 bulan penjara atau kedua-dua.