PERCUBAAN MELUCUTKAN KELAYAKAN HAKIM

28 September, 1999

Perbicaraan liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim disambung semalam di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur. Peguam DSAI dilihat memulakan satu percubaan dan meminta hakim supaya melucutkan kelayakan dirinya untuk mendengar kes itu kerana beliau pernah menjadi rakan perniagaan anak Perdana Menteri hampir 10 tahun yang lalu.

Hakim Datuk Arifin Jaka tidak sepatutnya terus mendengar kes itu kerana perhubungannya dengan Mirzan Mahathir semasa kedua-dua mereka menjadi pengarah dan pemegang utama saham Dataprep Holdings Bhd.

Karpal Singh berkata Arifin Jaka sepatutnya membuat pendedahan mengenai 'hubungannya dengan anak PM' selepas beliau dilantik sebagai hakim bagi kes itu atau sebelum perbicaraan dimulakan.

Karpal Singh juga mengemukakan kepada mahkamah senarai pemegang saham dalam Dataprep yang diambil daripada sebuah prospektus yang menunjukkan pemilikin sebanyak 87,941 unit saham Dataprep oleh Ariffin Jaka dan 381,597 unit lagi oleh Mirzan Mahathir.

Karpal Singh juga memberitahu mahkamah bahawa perkara itu mempunyai kepentingan kerana bapa Mirzan, PM Mahathir Mohamad, menasihatkan Yang di-Pertuan Agong mengenai pelantikan hakim. Justeru itu beliau mendakwa orang yang bertanggungjawab melaksanakan pendakwaan terhadap DSAI adalah PM, yakni Maha Firaun.

"Kamu membuat andaian ini kerana saya pada suatu ketika dahulu berada dalam sektor swasta dan mempunyai kedudukan dalam syarikat ini, yang dikaitkan dengan Mirzan Mahathir, iaitu anak perdana menteri, dan bahawa kini terdapat keraguan mengenai kesaksamaan saya dalam perbicaraan ini dan rasa syak melakukan keputusan berat sebelah. Adakah ini yang dimaksudkan? Kamu sudah banyak bercakap." kata Arifin.

Bagaimanapun, Karpal Singh berkata hakikatnya adalah terdapat perhubungan perniagaan di antara Arifin dan anak perdana menteri. Karpal Singh juga menggesa hakim supaya menimbangkan perkara itu dengan teliti kerana beliau terlibat secara peribadi.

Peguam Sukma, Gobind Singh Deo yang menyokong penghujahan Karpal Singh mengenai perkara itu, berkata mereka terkejut dengan pendedahan itu kerana ia merupakan satu perbicaraan bersama dan keputusan mahkamah turut mempunyai kesan kepada anak guamnya.

Peguam Negara Tan Sri Mohtar Dugong yang mengetuai pasukan pendakwaan berkata, beliau "terkejut dan kesal dengan kelakuan Karpal Singh kerana membangkitkan permohonan ini.

Mohtar Dugong berkata sebagai Peguam Negara beliau tahu bahawa apabila seseorang hakim, terutamanya daripada sektor swasta dilantik, beliau diminta meletakkan semua jawatan berhubung perniagaannya dan pelantikan lain yang mungkin menjejaskan keupayaannya untuk menjalankan tugas-tugas perundangan.

Mohtar berkata Mirzan, Dataprep dan Dr Mahathir bukan pihak dalam kes liwat itu dan "hubungan Arifin" dengan anak perdana Menteri semasa beliau menjadi peguambela dan peguamcara tidak penting.

Pada peringkat ini, Karpal Singh memaklumkan kepada mahkamah bahawa peguambela akan memanggil perdana menteri sebagai saksi mereka.

Mohtar berkata isu yang perlu diputuskan oleh mahkamah ialah sama ada hubungan ini mungkin menjejaskan kebebasan dan kesaksamaan hakim dan sama ada terdapat kemungkinan berlaku berat sebelah oleh hakim dalam kes itu.

Beliau juga berkata mahkamah perlu menimbang sama ada perkara itu boleh mencetuskan kebimbangan dan rasa syak di kalangan umum dan bukan pihak-pihak yang berkepentingan seperti ahli politik, penyokong reformasi, BN mahupun PAS.~MR