Alasan Kerajaan Untuk Memerangkap Saingan Politik

27 September, 1999

Timbalan Perdana Menteri DS Pak La 'B' berkata bahawa kerajaan tidak akan mengadakan Operasi Lalang II untuk menahan mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Beliau mempertahankan penahanan yang dibuat oleh polis baru-baru ini terhadap mereka yang terbabit dalam perhimpunan haram di sekitar Kuala Lumpur, 'kununnya' adalah mengikut undang-undang dan bukannya melaksanakan operasi lalang II.

Rakyat yang berhimpun dalam Perhimpunan Rakyat Ahad lalu adalah bertujuan untuk menghantar memorandum rakyat kepada YDP Agong untuk mendapat keperihatinan baginda mempertahankan kesejahteraan rakyat melalui kebebasan bersuara dan hak asasi manusia yang telah dicabul oleh kerajaan yang mendakwa mengamalkan sistem yang bebas dan demokrasi.

Telah menjadi bukti kepada rakyat negara ini dan seluruh dunia amnya bahawa campurtangan polis akan berakhir dengan suasana ketegangan dan tidak selamat. Ini adalah kerana peranan polis masa kini sudah bertukar daripada memastikan keselamatan orang awam dan negara amnya, kepada pengawal dan khadam Maha Firaun di bawah kerajaan BN.

Walaupun negara ini mempunyai kebebasan bersuara, namun hak itu dinafikan oleh kerajaan BN apabila mendapati rakyat terlalu mendesak hingga mahukan kuasa mereka diletakkan secara 'revolusi' angkara kezaliman dan dasar yang menzalimi rakyat biasa.

Akibat pencabulan terhadap kebebasan bersuara itu, maka rakyat menjadi lebih agresif dan mengistiharkan jihad menentang kezaliman yang dilakukan kerajaan BN. Walau pun acapkali kerajaan mendakwa bahawa amalan demokrasi negara ini memberi kesempatan kepada rakyat untuk menyuarakan pandangan dalam pelbagai perkara, namun apa yang dipraktikkan tidaklah seperti yang dilaung-laungkan.

Justeru itu, kepada rakyat yang merasai ditekan dalam kezaliman itu, hanya satu cara yang akan membebaskan mereka dari belenggu ini iaitu dengan menukarkan kerajaan yang sedia ada kepada yang baru.


KEMBALI