SAJAK SAJAK PILIHAN HASYUDA ABADI

AKAR CAHAYA

sesuatu yang berada di merata mana akan berpindah
dari hujung pandang ke dalam pandang yang rendah
sebelum tiba ke dasar pandang
teratas...

apakah yang dipelajari daripada pandang? misalnya
ketika memilih warna; bagaimana warna belum dapat
menenggelamkan buta
meletakkan nilai makna warna dengan seutuh sempurna
di atas pandang telus ke medan cahaya

walaupun singgah di pelabuhan pandang jauh
menafsir citrasa cemerlang
masih tak sampai jua menilai nikmat itu
masih tak mampu menjana makna hikmah itu;
selesaikan di sini? tanya kalbu:
pandang rupanya harus tertumpu
hanya pada satu
nikmat itu padu di situ
utuh mengasuh butaku

demikian cahaya berada
dalam lapisan-lapisan akar yang jauh
di sana...

Kota Kinabalu,
1997.


AKAR PERCAKAPAN…
(kepada ra)

Seketika, sulit menjadikan akar sebagai punca
selagi belum mengenal apakah makna punca,
apakah makna akar…

antara tawa atau basah di celah pandang
saujana laut riwayat, akar melingkar tubuh kalbu
tak pernah siap digubah
walaupun akhirnya ada penyudahnya.

Kau dengarkah suara ketika mengungkapkan kenangan?
Masa silam adalah kolam rahsia yang berakar pada rindu.
Bukalah citra itu. Adakah akarnya?

Kita sering didekati rahsia percakapan, akar kehidupan,
awan dan langit kedamaian. Walaupun ada duka, ada suka
walaupun ada suka, ada duka: ada gusar berlabuh,
ada penyudahnya menyuluh.

Ayuh, kayuh perahu makna yang bakal ditemui di sisi
gelombang tabah. Bertemukah akar-Nya ?

Ikatan Penulis Sabah,
Mei, 1997.


DI SEBALIK PERTEMUAN

Demikianlah, pertemuan tidak seperti yang dijangka
pada masa yang sama mencanai semula rindu, bermakna
membiarkan waktu berlalu lagi, dan kita berada di antara
pintu-pintunya yang terbuka menanti pesona mimpi-mimpi yang sama.

Apakah yang ingin diimpi kini jika bukan kesempurnaan
yang kerap digarap dan ditatap seutuh pengabdian
sesekali cuba menjahit segala robek pahit
menggalas cemas di bibir fikir:
tak upaya menjangka atau menjangkau upaya yang sedikit
melampaui kesempurnaan yang bukan pasti dimiliki
kerana sangka atau alpa.

Kedewasaan mengajar erti ketabahan
sama ada perlu dilalui atau tidak
bukan ada jawapan saat ini, memaknakan jawapan
bukan lagi di sini, memaknakan jawapan terletak
pada qada dan qadar Tuhan
kita hanya mampu merencana, merangka-rangka kebenaran
yang ingin ditegakkan
walaupun akhirnya hampa, tetapi bersyukurlah
kerana masih ada waktu untuk menafaskan pertemuan-pertemuan lain
yang baru jika kita mahu dan kita melaluinya, walaupun harus
berulang-ulang, kerana di situlah teruji jati diri
mekarnya ketabahan, menguntum bunga uji di halaman mimpi-mimpi
yang telah dibela dan dihargai seteguh hati.

IPS, KOTA KINABALU,
1997.


EMBUN MUHARAM

Cahaya berkaca hinggap di puncak pengap
gerak liuk senyap dan sejuk duniamu
diamlah alam
menenggelamkan era silam
mengeram langgam sepanjang malam
amalku

saat ini terkuak hijab rindu
akrab alam sejuk menelusur baur padu
meriuh sunyi, memanjat munajat
dan bertempur dalam lingkaran embun
yang berakar di rumah daun

agar tak gugur
saat dinihari mulai ditinggalkan

Ikatan Penulis Sabah,
Kota Kinabalu.
1418, 1 Muharam

PERCAKAPAN TENTANG DEBU-DEBU

Debu-debu itu masih belum pulang. Masih mengintai-intai seluruh
lorong lalai dan lereng lali. Debu-debu itu masih berlari. Mengejar alpa.
Debu-debu masih berlegar-legar di sini. Mengepung daun-daun
musim mulai tak berembun, mengepung dahan-dahan kering,
mengepung duri dahan-dahan daun dan pohon-pohon daun mati.
Debu-debu menyelubungi sukma
kini kian didebukan debu-debu hitam dan malam.

Beaufort-Sipitang-KK
15 Mei, 1997.


PERCAKAPAN TENTANG DURI

Bersembunyi di kelopak kalbu duri-duri bunga
tak dapat kucapai tapi subur di taman sukma.

Bunga-bunga berduri bersembunyi di dalam embun Sabda
berkacalah cahaya Sabda mendirikan duri di ladang api.

Menyalalah api membahangi dunia embun
menakungkan renjis hujan di taman duri dan bunga-bunga berduri

Bersembunyilah kalbu di dalam sukma duri.

Sipitang.
15 Mei 1997.


MENGACA KEMBARA

Kembara mulai menelusuri kelopak embun
menyental kesan sejuk dan irama basah

di tiang sukma bersandar ramah menjana rindu yang satu.
Hidup memuncak ke langit mengaca warna hinggap di hujung mendung

(ii)
Pandangan mulai memaut di dahan ilham
gugur daun fikir dioleng-olengkan dingin malam
di hadapan peribadi terhunus tajam basah belati resah
menyiat-nyiat daging sepi
dan lihatlah darah sunyi membuak dari kelopak
dinihari…

(iii)
alam bungkam
daun malam dihanyuti titisan darah
rindu memungutnya dan merenjis pohon waktu
kembara mencelahi embun mengaca makna
dari langit cahaya.

Ikatan Penulis Sabah,
1997


KERTAS, PENA DAN JAM

(i)
Saudara ditinggalkan mungkin
kalau tidak kerana detik jam
kalau tidak kerana saudara segera
mendapatkan kertas
menghimpun musim yang menjahit detik
menabur dakwat minda ke dalam pena masa

(2)
kertas tak engkar mempersila dakwat mengatur
abjad dan huruf yang mengalir dari akar akal
tak lengkaplah helaian kertas jika tak sempat
menangkap makna dari jiwa pena
yang terwarna oleh warna dakwat, detik jam
atau gumam ilham

(3)
saudara hanya terpanah oleh gerak pantas
si bucu waktu
akhirnya pulang keliru
seharusnya saudara waspada
tentang detik itu.


Ikatan Penulis Sabah.
1997

SUATU SUBUH

Suatu subuh: kumandang azan mengembang di
samudera alam sunyi. Sepi menakluk pagi.
Alur dingin memeluk lena dan mimpi-mimpi
yang panjang. Cerah pandangan ditabiri
penggoda yang menggaru-garu
teguh kalbu. Dan, iman tak tersentuh pun
demi-Mu!

Suatu subuh: azan menyayapkan ilusi suci
mengucap sehalus ungkap. Terbang doa
melayangkan istigfar ke jauh langit
mengalun lembut sepenuh tawaduk.
Meniti hari ini. Mendakap keinsanan tenteram
riak rupa
riak gerak mengutip diri.

Ikatan Penulis Sabah,
1997.


SEKEPING POSKAD

Sekeping poskad membawa impian-impian
merangkai di jendela kenangan, menghamparkan permai
persahabatan, memekar bunga usia wangi dihidu
dalam roh kata menjaring manisnya rindu.

Sekeping poskad menghamparkan sejadah kenangan
membawa terbang ke saujana lautan
taman kesayangan dan banjaran ujian.

Kota Kinabalu,
1996.


AKU INGIN BERCITRA SEBENARNYA...

Jangan fikir bisu aku memaknakan kebenaran lakumu
itu dusta purba, jangan fikir mampan mengerat minda bangsa,
ini zaman serba serbi menghunus pida berhemah,
jangan cuba menjinakkan jiwa kami dengan kata-kata
tanpa kaya makna
fikirkan kehendak bangsamu untuk maju
membangunkan kemanusiaan sampai teguh!

ii)
Aku ingin berkata sebenarnya biarpun siapa yang mendengar
itu papa untuk mengiyakan.

iii)
Jangan fikir aku memenangkan kejuaraan dan mendabik dirimu
di halaman kesayangan ini dengan sombong dan angkuh
muak aku memandang anda melompat-lompat dan terkinja
berteriak ke arah seluruh buana, benua, pulau dan semenanjung ini,
kita harus memerdekakan minda anak bangsa
bukan menghijau dan semarak untuk detik yang sekejap,
kejapkan sikap
bangsa ini harus berani bangun sampai bila-bila
dan maju sampai bila-bila
kesepakatan yang dirinda harus tersulam sampai bila-bila
dan bersatu padu sampai bila-bila
bukan bermusim
bukan umpama lalang..

(iv)
Aku ingin bercitra lagi nanti
walaupun yang mendengar tidak pernah menyatakan pasti...

Kota Kinabalu,
1996.


CERMIN
(kepada wanita..)

Itu yang saudara pandang pada saat-saat cemas
menatang wajah yang dikerdutkan waktu,
itu yang saudara jeling setiap detik
ingin mencapai tingkat kecantikan antik
saudara kau kejar dan daki selagi nafas masih wajar
menggetarkan nafas kulit, nafas lirikan mata
dan nafas keinginan yang satu itu:
suatu dunia anggun!

(ii)
Cermin! Ya, itu yang saudara lihat, hari-hari yang dihadiri
masih ada ruang walaupun sempit, suatu waktu saudara
tersepit oleh waktu, namun masih ada tempatnya
menjelirkan jelingan, mengimbas bibir, hidung, rambut, dahi
bahkan segala yang ada di wajah
mencermini kehidupan terarah

(iii)
Cermin itu ada pada dirimu tapi saudara tidak
akan melihatnya jika tidak merasakan kehadiran hati
setiap waktu saudara menjeling-jeling pada cermin,
saudara tidak bisa menjeling-jeling ke dalam
cermin di dalam diri. Pernahkah saudara
mencermin kalbu atau kalbu menjeling
ke arah dirinya, atau iman mencermini kejatian imannya, atau
keinsafan memantulkan wajah keinsafan itu dan
memancar dan menjalar ke seluruh saraf diri
lalu terimbas pada cermin, akhirnya melihat diri saudara
di dalam dua cermin dalam satu kewujudan!

Uh...!

IPS, Kota Kinabalu,
1996.


MENGENAL MAKNA

Tercipta langit dan bumi dan seluruh cakerawala
membatas akal dan laku yang sentiasa malu;
Mengenal makna kebenaran yang bulat dasar benar-Nya
pada bintang-bintang berkerdipan menghiasi angkasa
cerlang malam membenam kasih dan rindu
pada bulan, matahari menembusi gelap
menghadirkan pagi, memanas
membesarkan fizika mahluk seluruh alam,
sungai laut dan seluruh marcapada
tempat berpijak dan menenteramkan kebaktian utuh,
hujan, embun dan bisik mergastua;
Kenalilah ketika subuh dan terkuntum melata
ribuan bunga, tumbuhan, pohon-pohon memancarkan
kebahagiaan;
Sekaliannya bertasbih
mengagungkan kebesaran-Mu...

Ya-Rabbi, keagungan-Mu
pedoman keterbatasan akal, abdiku di bawah Keagungan-Mu
mengendara arus segara ke arah abid, insan rabbani
meneroka alam tenang
khusyuk mengenal makna...

Kota Kinabalu,
1996.

(Sajak-sajak ini termuat dalam Antologi AKAR CAHAYA)


___________