PUISI-PUISI ARIFIN ARIF
Dipetik dari Kumpulan Puisi API LAUT MERAH

IMANKU RUMAH LELABAH

Hanya di rumah-Mu
selamat diriku
daripada ular-ular
menjalar melingkar
di luar rumah-Mu imanku rumah lelabah
rapuh
oleh gerak suara cicak
Rabbi anugerahi daku
sejengkal keajaiban Musa
moga lautan perdaya
dapat kubelah
dan sihir-shir ular
menyerah pasrah
hanya di rumah-Mu
tulus terucap permohonan ini
kerana di luar
di anak tangga
pintu pagar
ular-ular telah menunggu
dengan serunai sihir
memukau melingkar
imanku rumah lelabah.

Kaherah
1986

MENANTI HABIL

Qabilkah memberi pisau
maka sesuaka kautikam manusiawi
sedang di ranting, burung purba pada sesal
mengajarkan upacara. betapa telah berabad
merindukan seorang Habil.

WARKAH (untuk Ummi)

Tentang Zulaikha
dan gadis-gadis
yang menghiris jemari itu
usahlah dirisaukan
aku akan selalu
mencontohi kesabaran
daripada Yusuf.

Tentang Laila
segala keputusannya
yang menestapakan itu
juga, usahlah difikirkan
aku masih berguru
menggali ketabahan
daripada Ayub

Ummi
takku pernah
mendendaminya
kerana sedari kecil
kau tak mengasuhku
mewarisi tabiat Qabil.
Kaherah
1988

BUNYI SEPATU

Dengarkan baik-baik bunyi sepatu
yang makin mendekat itu. Jangan-jangan
dialah Zulaikha yang mengetuk tengah malam
semalam. Ah! Pintu, sampai subuh baru kita singkirkan
palangnya. Kali ini, bagaimana pula jika Yusuf
tidak juga pulang... Kaherah 1988

DOA TONGKAT

Perkenankanlah
lagi
daku membelah
lautan ini, Tuhan
apabila kebenaran
terselamat ke seberang
akan bersatu kembali
gelombang.

Ah! Engkau saja
Maha mengetahui
betapa kesyukuran ini
waktu sang Firaun
bersama-sama angkatan kesesatan itu
sekali lagi terbenam
di dasar lautan
amin... Membakut 1990

BICARA TEMAN PENYAIR

Sejuk desir hikmah
mencecah dermaga kalammu
di pesisiran tauhid
marilah
jadualkan pelayaran
bahtera iman nuh berangkat
menuju pulau khairat
kasih seorang thabit
mawar berkelopak di kalbu kaab
memercik rindu abadi Rumi
dalam lagu pulang saadi
janglah turun
ke pelabuhan ghawuun
di ukaz sajak amrul qais
ghazal-ghazal jahili
bertemu dalam ruap hija
dendam kabilah.

Saudara,
kira kautanyakan
asal salam kita
sebenar sejak abad bersatu
mengharung isyarat kitab
laut saujana zat
pulau ghayah
pulau Allah.