|
Tuan-tuan dan Puan-puan sekelian,
Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah S.W.T. kerana dengan izinNya pada pagi/petang
yang berbahagia ini, kita semua dapat berkumpul di Dewan ini bagi mendengar ucapan dan
amanat yang akan disampaikan oleh Y.A.B. Dato Seri Amar Di Raja, Tan Sri Haji Wan
Mokhtar bin Ahmad, Menteri Besar Negeri Terengganu Darul Iman.
Terlebih dahulu ingin saya mengalu-alukan kehadiran Y.A.B. DatoSeri Tan Sri Menteri
Besar ke majlis perjumpaan kita pada pagi/petang ini. Saya juga ingin merakamkan ucapan
terima kasih yang tidak terhingga kepada beliau untuk hadir dan seterusnya menyampaikan
amanatnya sebentar lagi.
Sesungguhnya kehadiran Y.A.B. Dato Seri Tan Sri Menteri Besar ditengah-tengah
kesibukan yang lain, membuktikan keprihatinan dan minatnya terhadap perkembangan
kemajuan anggota perkhidmatan awam yang berkhidmat di Negeri Terengganu. Sesungguhnya kita
berasa amat bertuah kerana sentiasa mendapat perhatian, bimbingan serta sokongan yang kuat
dari Y.A.B. Dato Seri Tan Sri Menteri Besar dalam semua usaha untuk meningkatkan
serta memantapkan peranan dan prestasi perkhidmatan awam di Negeri.
Sesungguhnya perjumpaan kita ini adalah besar ertinya kepada semua anggota Perkhidmatan
Awam di Daerah ini kerana membolehkan Ketua Kerajaan Negeri memberi penerangan secara
langsung kepada semua anggota terhadap dasar dan polisi Kerajaan Negeri khususnya di dalam
aspek pembangunan dan tanggungjawab yang perlu dimainkan oleh setiap anggota bagi
menjayakan agenda pembangunan Negeri atau Persekutuan di Negeri ini.
Y.A.B/ Y.B. / Dato'-Dato'/ Tuan-tuan dan Puan-puan, Kita telah memilih Perkhidmatan Awam
baik Negeri mahupun Persekutuan serta badan-badan berkanun sebagai kerjaya hidup kita.
Sebaik sahaja Ikrar Perkhidmatan Awam Malaysia ditandatangani bersekali dengan Perakuan
Akta Rahsia Rasmi 1972 dilafaz dan ditandatangani maka tuan-tuan dan puan-puan telah
dilantik menjawat jawatan sebagai anggota Perkhidmatan Awam.
Ini bererti bahawa kita mestilah bersedia hidup dalam suatu budaya kecil yang mempunyai
batasan-batasan tertentu. Terdapat larangan-larangan dan had-had tertentu ke atas
anggota-anggota Perkhidmatan Awam dari segi mengumpul harta dan mengambil bahagian dalam
politik. Dalam masa lapang pun, tata kelakuannya diawasi supaya tidak menjejaskan imej dan
nama Perkhidmatan Awam kita, maka terpaksalah kita menerima hakikat ini.
Suatu perkara yang perlu disedari oleh semua anggota Perkhidmatan Awam iaitu konsep
berkecuali atau concept of neutrality of the Public Service yang telah kita warisi.
Berasaskan konsep ini, anggota-anggota Perkhidmatan Awam adalah dikehendaki taat dan setia
kepada pemerintah dan melaksanakan segala dasar dan keputusannya dengan setia dan jujur
kerana pemerintah berkenaan. telah diberi mandat oleh rakyat melalui proses demokrasi.
Khususnya,
pegawai-pegawai Awam yang tergolong dalam Kumpulan Pengurusan dan Profesional (dulunya
kumpulan A )adalah dilarang mengambil bahagian dalam politik. Ini bererti bahawa menjadi
anggota Perkhidmatan Awam memerlukan pengorbanan bagi seseorang itu.
Sebagaimana sedia maklum, kegawatan ekonomi yang melanda negara mulai pertengahan 1997
meninggalkan kesan yang begitu ketara ke atas sektor korporat/swasta dimana sebahagian
terpaksa tutup dan sebahagian pula menyesuaikan diri dengan keadaan. Akibat yang ketara
ialah ramai yang diberhentikan kerja. Berbanding dengan kita sebagai Kakitangan Awam masih
kekal dan terus menikmati faedah bonus umpamanya pada tahun 1997 sebanyak RM500.00, 1998
RM400.00 dan 1999 dijangka sebanyak RM600.00 yang telah dibayar RM100.00 mulai
bulan Julai . Oleh itu kita sewajarnya melahirkan kesyukuran kerana kerajaan yang ada
masih prihatin terhadap kebajikan anggota perkhidmatan awamnya.
Y.A.B/ Y.B. / Dato'-Dato'/ Tuan-tuan dan Puan-puan,
Perubahan masa banyak merubah peranan Perkhidmatan Awam di negara ini. Ketika di bawah
penjajahan Inggeris, aktiviti Perkhidmatan Awam tertumpu kepada kegiatan penguatkuasaan
undang-undang dan kutipan hasil. Kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957 membawa perubahan
apabila usaha-usaha pembangunan dipikulkan
ke pundak peribumi dan begitu juga soal dasar luar , aspek keselamatan dan ekonomi.
Mulai 1990an, peranan Perkhidmatan Awam mulai berubah selaras dengan
perkembangan-perkembangan yang berlaku diperingkat antarabangsa yang gerakan kualiti
menjadi agenda utama. Peranan utama dalam bidang perancangan dan kawalan yang dipegang
sekian lama kian terhakis oleh kehendak yang berbeza daripada
persikataran yang wujud. Perkhidmatan Awam kini lebih bersikap terbuka dengan penswastaan
menjadi alat untuk meningkatkan kemajuan sosioekonomi negara.
Sebagaimana yang kita semua sedar bahawa matlamat menuju kecermelangan tidak pernah ada
penghujungnya. Dengan demikian peluang sentiasa terbuka untuk kita meningkatkan lagi tahap
kecekapan dan keberkesanan Perkhidmatan Awam.
Dalam kesempatan ini sukacita saya menggariskan beberapa program yang pada pendapat saya
pelu diberi fokus dan keutamaan dalam beberapa tahun akan datang ini.
Pertama, menentukan usaha mewujudkan Electronic Government dilaksanakan mengikut jadual.
Ini memerlukan tindakan segera dan bersepadu di antara jabatan-jabatan yang terlibat
dengan pihak MAMPU, sektor swasta yang terlibat dan pakar perunding yang dilantik.
Perhatian serius juga perlu diberi kepada aspek latihan kepada semua peringkat pegawai dan
kakitangan bagi menentukan mereka bersedia dengan pengetahuan dan kemahiran yang cukup
untuk melaksanakan program penting ini.
Kedua, mempastikan pelaksanaan MS ISO 9000 di semua agensi-agensi Kerajaan mengikut
perancangan yang ditetapkan. Adalah diharapkan menjelang akhir tahun 2000 semua agensi
kerajaan di Negeri Terengganu akan mendapat pengiktirafan MS ISO 9000.
Di sini saya berharap ketua-ketua jabatan memberi perhatian dan keutamaan agar kakitangan
yang ditugaskan menyediakan dokumen MS ISO 9000 melaksanakan tugasan mereka mengikut
jadual dan perancangan yang telah ditetapkan.
Ketiga, mempertingkat perlaksanaan Piagam Pelanggan. Ia perlulah sentiasa disemak agar
janji-janji perkhidmatan sentiasa dipenuhi dan dipertingkatkan dari semasa ke semasa.
Tumpuan juga perlu diberi dalam menilai kualiti perkhidmatan yang diberi dan mengesan
kelemahan-kelemahan dengan tujuan untuk meningkatkan standard kualitinya.
Keempat, meneruskan usaha memperkukuhkan hubungan kerjasama dengan sektor swasta dan
menyediakan persekitaran yang dapat mempercepatkan pertumbuhan ekonomi khususnya dalam
menghadapi persaingan ekonomi global.
Kelima, mempastikan sumber kewangan diurus dengan lebih berhemat, cekap dan
bertanggungjawab. Selain terus
memperkukuhkan sistem pengurusan kewangan yang telah diperkenalkan, tumpuan yang
berterusan perlu diberi kepada kelemahan-kelemahan yang sering mendapat teguran Ketua
Audit Negara.
Tuan-tuan dan puan-puan perlulah mengambil berat dan memberi perhatian khusus setiap
teguran-teguran tersebut agar ia dapat diperbaiki dan tidak berulang di tahun-tahun
mendatang.
Keenam, mempertingkatkan usaha ke arah mewujudkan pentadbiran yang amanah, bersih dan
cekap. Aspek ini amat penting memandangkan pembangunan ekonomi yang semakin rancak dan
kepesatan perubahan yang berlaku boleh menggugat kejujuran, akauntabiliti dan seterusnya
menjejaskan kecekapan.
Tindakan tatatertib dan penguatkuasaan undang-undang semata-mata tidak dapat membenteras
sepenuhnya amalan-amalan negatif seperti rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.
Dengan itu tumpuan perlu terus diberi kepada usaha-usaha memupuk dan membudayakan
nilai-nilai murni dan etika kerja yang positif.
Ketujuh, melaksanakan projek-projek pembangunan yang dirancang mengikut jadual yang telah
ditetapkan. Perancangan dan kawalan yang jitu adalah penting agar setiap peruntukan yang
diluluskan digunakan dengan betul dan mencapai objektifnya.
Sehubungan dengan itu, ketua-ketua jabatan perlulah sentiasa turun padang untuk mengetahui
pemasalahan yang berlaku di peringkat bawahan. Tindakan ini akan mewujukan dua
pentembongan idea yang akhirnya akan membuahkan hasil kerja bermutu, berkualiti dan mesra
pelanggan.
Kelapan, mempertingkatkan tahap kebersihan dan keindahan. Adalah menjadi tugas dan
tanggongjawab kita semua untuk memastikan tahap kebersihan dan keindahan di daerah ini
dipertingkatkan. Ini penting untuk kesihatan diri kita disamping dapat menggalakan
kegiatan pelancongan di daerah ini yang memang terkenal dengan keindahan pulau-pulau.
Y.A.B/ Y.B. / Dato'-Dato'/ Tuan-tuan dan Puan-puan,
Melihat kepada kesediaan dan kesungguhan agensi-agensi Kerajaan melaksanakan pelbagai
program pembaharuan, saya mempunyai penuh keyakinan bahawa Perkhidmatan Awam mampu untuk
terus maju dan menangani cabaran masa depan. Sasaran kita, selain ditumpukan kepada
merealisasikan agenda masa depan yang saya sebutkan tadi, ialah meneruskan semua
program-program pembaharuan lain yang telah diperkenalkan.
Hasrat Perkhidmatan Awam untuk meningkatkan kecemerlangannya tidak dapat dicapai
sepenuhnya tanpa sokongan dan dorongan yang berterusan daripada pemimpin-peminpin negeri
dan kerjasama erat daripada pihak swasta, badan-badan bukan Kerajaan dan media massa. Saya
mengucapkan setinggi terima kasih kepada semua
pihak yang telah memberi sumbangan dan berharap sokongan dan kerjasama ini dapat terus
dipertingkatkan bagi menghadapi masa depan yang lebih mencabar.
Tuan-tuan dan puan-puan adalah golongan yang bertuah kerana berjaya menjawat jawatan dalam
perkhidmatan awam di negeri ini. Mengikut statistik terdapat seramai :-
- 16,360 orang kakitangan perkhidmatan negeri (termasuk 7,046 orang kakitangan badan
berkanun dan 2,118 orang kakitangan Kerajaan Tempatan ) , 14,067 orang kakitangan
perkhidmatan persekutuan, dan 17,699 orang kakitangan Kementerian Pendidikan . Ini
bermakna tuan-tuan dan puan-puan tergolong dalam 4.8 % sahaja
dari penduduk negeri ini yang diberi tanggongjawab untuk melaksanakan dasar-dasar kerajaan
di negeri ini.
Saya menyeru diri saya dan tuan-tuan dan puan-puan bahawa kita di dalam Perkhidmatan Awam
Negeri dan Persekutuan di Negeri Terengganu ini akan tetap berdiri teguh di belakang
Kerajaan dalam mentadbir dan melaksanakan dasar-dasar dan program-program pembangunan
negeri dan negara. Kita juga berazam untuk terus
berkhidmat, berbakti dan menabur jasa dengan penuh taat dan setia kepada negeri dan negara
yang tercinta. Kita hendaklah berterima kasih dan bersyukur sebagai penjawat awam yang
sentiasa mendapat kemudahan-kemudahan dan rahmat dari Allah S.W.T.
Sekali lagi saya ingin mengucapkan setinggi penghargaan kepada Yang Amat Berhormat Menteri
Besar Dato Seri Amar Di Raja Tan Sri Haji Wan Mokhtar bin Ahmad atas kesudian beliau
hadir bersama kita pada pagi/petang ini.
Terima kasih kepada Pegawai Daerah, ketua-ketua jabatan negeri dan persekutuan, tuan-tuan
dan puan-puan.
Sekian
|
|