Bekas ahli JKKK  Setiu diminta merapatkan kembali saf
..... Ahli Parlimen Setiu.


Bandar Permaisuri -9 April, 2000 - Majlis bagi meraikan bekas-bekas ketua kampung/pengerusi JKKK dan ahli jawatankuasanya telah diadakan di perkarangan kediaman Pegawai Daerah Setiu. Majlis yang diadakan dalam suasana penuh muhibah dan kemesraan  ini telah dihadiri oleh lebih 200 orang ahli JKKK sekitar Daerah Setiu.Turut sama dalam majlis tersebut ialah YB Ahli Parlimen Setiu, Che Ghani b. Che Ambak , YB ADUN Permaisuri, ADUN Langkap dan ADUN Jabi.

Dalam majlis tersebut YB Ahli Parlimen meminta sidang hadirin kembali bersatu dan merapatkan semula saf khususnya diperingkat kepimpinan masyarakat dikampung. Katanya perubahan kerajaan dan perubahan kepimpinan merupakan perkara biasa, ianya berlaku dimana-mana sahaja di dunia seperti mana yang berlaku di Jepun, Indonesia, India dan yang terbaru di Taiwan. Sudah pastinya perubahan membawa kemajuan yang lebih dinamik, di peringkat kepimpinan sudah pasti akan berlaku anjakan paradigma. Beliau seterusnya mengharapkan pemimpin masyarakat memberi kepercayaan dan peluang kepada kepimpinan baru yang memerintah negeri ini bagi menunaikan tanggungjawab mereka berasaskan perinsip keadilan. Tambah beliau, perubahan pasti akan berlaku, cuma rakyat diminta bersabar serta memberi ruang kepada perubahan tersebut untuk kebaikan bersama.  Beliau mengambil contoh sepertimana orang yang baru  berumah tangga, tak mungkin mendapat anak dalam tempoh terdekat seperti tiga atau empat bulan. Jika ia nya berlaku (mendapat anak), sudah pasti ada sesuatu yang tak kena.  Beliau yang akan berlepas ke Afrika Selatan besok  bagi menghadiri satu persidangan Pelaburan Antara Bangsa berjanji akan berusaha menarik pelabur-pelabur asing untuk datang ke Terengganu dan seterusnya membuat pelaburan yang akan memanfaatkan rakyat jelata.

Turut berucap dalam majlis yang sama ialah ADUN Jabi, YB Ust. Zurkirnain. Beliau   mengingatkan hadirin bahawa setiap pemimpin adalah bertanggung jawab untuk melaksanakan perintah Allah sesuai dengan tugas manusia sebagai khalifah Allah di muka bumi ini.

Pegawai Daerah Setiu En Adzlan bin Mohd Dagang pula mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua ahli JKKK yang telah berkhidmat dengan cemerlang bagi memajukan "daerah bongsu" ini. Sumbangan mereka tidak ternilai harganya, hanya Allah sahaja yang dapat membalasnya.

Sebelum daripada itu Pengerusi Persatuan Bekas Ketua-Ketua Kampung Daerah Setiu En Anuar Mohamad menyeru bekas ahli-ahli JKKK memberi kerjasama kepada JSR bagi meneruskan khidmat kepada masyarakat demi kepentingan rakyat Setiu khususnya. Katanya lagi, kalau dahulu PAS megkritik apa yang UMNO buat, kini giliran UMNO pula menjadi pengkritik, tetapi kritikan tersebut biarlah membina.

Di akhir majlis sidang hadirin telah dijamu dengan jamuan makan tengah hari dalam suasana yang penuh muhibah dan kemesraan.Majlis yang bermula pada jam 11.00 pagi berakhir pada jam 1.00 tengahari.

.....Buletin PDTS