Ziana hos HMI
Petikan Harian Metro : 26/3/2004
Oleh Ramlah Zainal

SEJAK berehat selama lapan bulan kerana melahirkan putera keduanya, Muhamad Ammar, 6 bulan, penyanyi bersuara lantang Ziana Zain yang kini tampil langsing dan jelita sudah bersedia menyemarakkan kembali persada seni tempatan.

Berita terbaru, penyanyi yang kembali aktif sejak Februari lalu akan menjayakan program hiburan popular, Hiburan Minggu Ini (HMI) bersama Ziana Zain yang akan disiarkan secara langsung jam 9 malam Sabtu ini di Angkasapuri, Kuala Lumpur.

Menurut Ziana, 35, yang sudah berkecimpung sebagai anak seni sejak 14 tahun lalu, ini penampilan pertamanya menjayakan persembahan secara langsung selama jam di hadapan peminat sejak berehat sekian lama dari aktiviti seninya itu.

“Ini kali kedua saya diundang menjadi hos HMI sejak kali pertama menjayakannnya dua tahun lalu. Konsep persembahan pula akan mengimbau zaman saya dari album pertama Madah Berhelah hinggalah album kompilasi Ziana Zain No.1s Live.

“Antara lagu popular yang akan disampaikan ialah Kekal, Puncak Kasih, Syurga Di Hati Kita, Lembah Asmara dan Madah Berhelah.

“Selain itu, saya akan berduet dengan artis popular era-80an Francissca Peters yang juga idola saya dulu. Mungkin ramai yang tidak tahu, saya sering menyampaikan lagu Aku Hanya Pendatang dan Sekadar Di Pinggiran ketika bersama Kombo Polis ketika zaman pembabitan awal saya sebagai anak seni,” katanya.

“Saya kini giat berlatih bersama band pengiring bagi memastikan persembahan yang terbaik untuk peminat pada malam itu,” katanya.

Band pengiring yang akan mengiringi persembahan Ziana pada malam itu ialah bawah pimpinan Jenny Chin selaku pengarah muzik, Mac Chew (keyboard), Josie (gitar), Amir (Percussion), Hillary, Gary dan penyanyi latar.

Bercakap mengenai produk terbarunya Video Cakera padat (VCD) Lembah Asmara: Beautiful Love Story , Ziana yang masih menjadi jurucakap tilam Vono dan terbaru jurucakap pusat pelansingan badan Slim World berkata:

“VCD ini mendapat kerjasama dengan EMI dan mengambil masa selama 45 minit. Ia menampilkan `upclose & personal’ saya ketika awal pembabitan sebagai anak seni hingga perkembangan terbaru saya.

“Sebagai penghargaan kepada peminat, VCD ini ada bonus MTV karaoke yang menampilkan tiga lagu sepertri Lembah Asmara, Madah Berhelah dan Bukan. Ia sudah menjengah pasaran sejak 18 Mac lalu dengan harga berpatutan,” katanya.

Ziana juga rupa-rupanya mengidam untuk beraksi semula dalam konsert unplugged seperti yang pernah dijayakanya di Live Centre pada tahun 1996 dulu.

“Saya ingin mendekatkan semula hubungan erat dengan peminat menerusi konsert unplugged pertama saya yang pernah mencipta kejayaan dulu,” katanya.

Sementara itu, bagi peminat yang ingin menyaksikan persembahan hebat artis kesayangan mereka ini jangan lepaskan peluang untuk mendapatkan pas masuk percuma di Tingkat 4, Unit Hiburan TV, Angkasapuri dan pejabat Emi Music (M) Sdn Bhd dengan segera bagi memastikan ia tidak kehabisan.

|BACK|