Ziana kembali langsing
Oleh Hartati Hassan Basri
- Harian Metro 30/1/2004 -

ZIANA... berjaya turunkan berat  badan sehingga 51 kilogram selepas melahirkan anak kedua. AKHIRNYA penyanyi Ziana Zain keluar dari ‘kurungan’ dan berhadapan dengan media buat pertama kalinya semalam, di majlis taklimat Anugerah Seniman 2003 di Finas, sejak melahirkan anak kedua, Muhammad Ammar pada 27 September lalu. Ziana ketika ditemui tidak  keberatan bergambar walaupun sebelum ini sering mengelak permintaan media. Katanya, bukan dia sengaja mengelak tetapi mahu kembali tampil di depan kamera apabila benar-benar bersedia. Katanya, dia gembira kerana tahap kembali pulih selepas melahirkan lebih cepat berbanding ketika melahirkan anak pertama dulu.

“Alhamdulillah, saya mampu menurunkan berat badan daripada 68 kilogram selepas melahirkan kepada 51 kilogram. Bagaimanapun saya mahu menurunkan tiga kilogram lagi untuk mencapai sasaran 48 kilogram iaitu berat
badan saya sebelum mengandung.

“Masa pantang 44 hari, saya ikut amalan berpantang. Selepas itu saya teruskan amalan diet dengan mengurangkan pengambilan karbohidrat, protein dan gula. Selepas 100 hari, saya memulakan senaman yang diatur Slim World Centre di Damansara Utama tiga kali seminggu.

“Insya Allah berkat latihan gigih dan meneruskan diet yang diamalkan, saya yakin mampu mencapai sasaran itu. Bukan saya tidak bersyukur tapi ada bahagaian tertentu yang perlukan perhatian lebih seperti perut, punggung dan paha,” katanya yang dilantik sebagai duta Slim World selama setahun.

 Ziana yang berkahwin dengan Ketua Pramugara Sistem Penerbangan  Malaysia (MAS), Armin Zaharin, bangga dengan kehadiran dua anak lelaki, Muhammad Aiman dan Muhammad Ammar sebagai penyeri rumah tangganya.