PintarNews

Mac 1999 / Zulkaedahl 1419 * BIL. 15 Tahun 2 *Percuma* Untuk Warga SRIP Sahaja

IQRA

Kaedah mempelajari al-Quran terlalu banyak mutakhir ini. Ada yang dinamakan Baghdadi, Hataiyyah, Qiraati dan Iqra. Kesemua kaedah yang diperkenalkan mempunyai kelebihan-kelebihan tersendiri yang bermatlamatkan melahirkan generasi celik al-Quran.

SRIP menggunakan kaedah Iqra dalam mata pelajaran al-Quran dan Hafalan. Kaedah Iqra ialah kaedah menyebut huruf-huruf yang dibariskan. Kaedah ini dipandu dengan buku-buku Iqra, terdiri daripada enam siri yang mengandungi kemahiran-kemahiran tertentu. Setiap pelajar dimestikan menghabiskan keenam-enam siri buku tersebut sebelum memulakan pembacaan al-Quran.

Sewaktu di SRIP, pelajar-pelajar akan membaca buku Iqra sebanyak tiga masa seminggu dan lima masa menghafal ayat-ayat suci al-Quran secara talaqi, iaitu kaedah penerimaan al-Quran oleh Rasulullah daripada malaikat Jibril. Pelajar yang tamat iqra akan membaca juzuk Amma seterusnya menumpukan penghafalan al-Quran secara talaqi

Kebiasaan pelajar akan sempat menghabiskan buku-buku tersebut dalam masa enam bulan. Selepas itu, pelajar tersebut akan mampu membaca al-Quran dengan lancar. Oleh itu, untuk mempercepatkan pelajar-pelajar membaca al-Quran, sokongan dan tunjuk ajar ibu bapa di rumah amat perlu. Berikut adalah panduan umum untuk ibu bapa :

Di permulaan pengajaran, ibu bapa menunjukkan kaedah pembacaan yang betul terlebih dahulu kemudian dibaca oleh pelajar.

Mana-mana kaedah yang telah dipelajari, ibu bapa tidak perlu lagi mengulangi sebaliknya biarlah pelajar berfikir dan mengulangi bacaan sehingga dapat. Kalau perlu ibu bapa hanya sekadar mengingatkan kepadanya kaedah yang telah dipelajari setelah dicubanya berkali-kali.

Jangan pindahkan mukasurat sehingga pelajar menguasai bacaan.

Iqra menggunakan kaedah satu demi satu, maka janganlah dicampur- adukkan kaedah-kaedah sehingga memeningkan pelajar.

Untuk menambah minat, ibu bapa bolehlah menggunakan pendekatan seperti nasyid.

Semoga dengan panduan di atas, ibu bapa dapat memainkan peranan sebagai pendidik di rumah.

Pintar News

A K T I V I T I      S R I P

 

LAPORAN AKADEMIK & KEPERIBADIAN

Mac - Dalam usaha untuk meningkatkan hubungan dengan ibu bapa dan menerima maklumbalas terhadap anak-anak, SRIP telah menghantar laporan akademik dan keperibadian kepada ibu bapa setiap dua minggu sekali. Laporan akademik merangkumi kemahiran-kemahiran pelajar selama dua minggu dalam semua matapelajaran dan tahap pencapaian pelajar tersebut. Manakala laporan keperibadian merangkumi akhlak, kebersihan, nilai baik dan sebagainya yang mencerminkan tingkahlaku pelajar. Oleh itu, tindakbalas ibu bapa dalam mengisi komen-komen amatlah diharapkan.

PENAZIRAN TENGAH DAN TIMUR

Februari - Seluruh SRIP telah dinazirkan untuk kali pertama sesi pengajian 1999. SRIP yang terakhir dinazirkan ialah SRIP Kuala Terengganu. SRIP-SRIP di kawasan Tengah dan Timur dinazirkan oleh Eksekutif Kurikulum. Penaziran peringkat pertama ini banyak ditumpukan kepada pengurusan kurikulum dan perbincangan berkenaan kurikulum dan kesesuaian lembaran kerja mingguan yang dihantar. Hasil daripada penaziran ini akan dibuat pengkajian oleh Bahagian Kurikulum dan juga oleh Bahagian Pembangunan dan Penyelidikan IASB.

GUNA IT DALAM PENGAJARAN

Menjelang Jun 1999, semua guru SRIP dijangka akan menggunakan multimedia sebagai salah satu kaedah pengajaran di SRIP bagi semua subjek. Buat permulaan, suatu bengkel bagi menguji kemampuan perisian berkaitan telah dilaksanakan di SRIP Melawati pada 28 Februari 1999. Bengkel tersebut telah dikendalikan oleh Dr Supyan Hussin dari Universiti Kebangsaan Malaysia, seorang pakar dalam bidang aplikasi IT untuk pembelajaran dan pengajaran.

Hasil daripada bengkel tersebut akan diproses sebelum perisian dan pendekatan berkenaan diperkenalkan secara efektif di semua SRIP. Kerberkesanan program ini akan menjadi asas kepada perancangan jangka panjang untuk memperkenalkan program komuniti maya SRIP (virtual community) yang merupakan sebahagian ciri pintar pakej pendidikan SRIP.