PintarNews

Jun 1999 / Safar 1420 * Bil. 18 * Tahun 2 *Percuma* Untuk Warga SRIP Sahaja

TANAMKAN SIFAT CINTA PADA RASUL

Rasulullah s.a.w., keluarga dan sentiasa membaca al-Quran adalah satu daripada pendidikan keimanan yang perlu ditanamkan di dalam hati anak-anak. Perkara ini ditekankan oleh Rasulullah s.a.w. di dalam hadithnya ;

Ajarkanlah anak-anak kamu tiga perkara, menyintai nabi kamu, menyintai keluarganya serta membaca al-Quran”

Riwayat at-Thabarani

Justeru itu, SRIP menjadikan subjek al-Quran dan Hafalan dengan pendekatan mengenal, membaca dan menghafal al-Quran manakala Pendidikan Nilai Dan Fardhu Ain memuatkan sukatannya dengan sirah Rasulullah s.a.w., para sahabatnya serta tokoh-tokoh ulama muktabar untuk melahirkan pelajar-pelajar yang :

Mengikat diri dengan al-Quran dalam hal kerohanian, prinsip dan pembacaan.

Menurut jejak langkah orang yang terdahulu dalam perjuangan dan keberanian.

Mengikat dirinya dengan sejarah dalam hal perasaan, kemuliaan dan kebanggaan.

Ungkapan ulama juga menunjukkan wajibnya mengajar anak-anak membaca al-Quran dan sirah Rasulullah s.a.w. :

Saad bin Abi Waqas berkata, “Kami mengajar anak kami sirah Rasulullah SAW sebagaimana kami mengajar anak kami membaca al-Quran.”

Sesungguhnya al-Quran menjadi asas kepada semua pelajaran dan ianya menjadi rujukan utama dalam dasar pendidikan - Ibn Khaldun.

Pintar News

AKTIVITI SRIP

IHTIFAL USJ

Jun - SRIP USJ di bawah pengurusan Akademik Islam Pintar Sdn. Bhd. akan mengadakan ihtifal (upacara penyampaian hadiah) kepada pelajar-pelajar yang mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan pertengahan tahun 1999 yang diadakan sebelum cuti penggal pertama yang lalu. Upacara tersebut akan diadakan pada 11 Julai 1999. Sebelum daripada itu satu acara persembahan khas oleh murid-murid akan diadakan. Semoga dengan adanya program seperti ini akan merangsangkan kegigihan pelajar untuk mencapai kejayaan dan mencungkil sifat-sifat kepimpinan, yang menjadi salah satu objektif ko-kurikulum SRIP.

PIGB - Saluran Peranan Ibu Bapa Memajukan SRIP

“Guru dan ibu bapa sebagai elemen-elemen utama di dalam sistem pendidikan memang wajar saling bekerjasama, kuat menguatkan, bertimbal balik dan bersatu padu di dalam menjayakan pendidikan anak-anak yang merupakan amanah Allah S.W.T. Betapa indahnya kurikulum sesuatu institusi pendidikan, tanggungjawab menyempurnakannya adalah tanggungjawab bersama seluruh tenaga pelaksananya termasuklah ibu bapa dan guru-guru. Kerana itu, ibu bapa dan guru turut tidak terlepas daripada keperluan meningkatkan kualiti di dalam semua segi untuk melayakkan menjadi pendidik di semua keadaan,” demikian ditegaskan oleh Pengerusi IASB, Ir Mustaffa Abdul Kadir ketika merasmikan penubuhan Persatuan Ibu Bapa Guru (PIBG) SRIP Melawati pada 28 Safar 1420 (13 Jun 1999) lalu.

Menurut beliau, SRIP yang diwujudkan sebagai satu institusi pendidikan Islam pintar memerlukan kepada pengemblengan semua sumber untuk menjadikannya institusi pendidikan terunggul di negara ini. Menyedari hakikat inilah di samping menerima pakai saranan-saranan bernas yang telah dikemukakan oleh ibu bapa SRIP, IASB merancang pembentukan PIBG di semua SRIP supaya menjadi suatu wadah untuk ibu bapa ikut serta menyumbangkan tenaga, kepakaran dan segala bentuk sumbangan yang bermanfaat untuk kemajuan SRIP dan seluruh anggota keluarganya.

Di majlis tersebut, En. Mustaffa Abdul Salam Green telah dipilih selaku Yang Di Pertua PIBG SRIP Melawati Sessi 1999/2000. Sehingga kini, SRIP Melaka dan SRIP Shah Alam juga telah berjaya menubuhkan PIBG pada Mei 1999. Adalah dijangka kesemua SRIP akan berbuat demikian menjelang Ogos 1999.

Pintar News