PintarNews

Julai 1999 / Rabiul Akhir 1420 * Bil. 19 * Tahun 2 *Percuma* Untuk Warga SRIP Sahaja

Tanggungjawab Pendidikan Moral

Pendidikan moral ialah prinsip-prinsip akhlak serta budi luhur yang mesti dilengkapkan ke dalam diri pelajar dan mesti dipelajari dan dibiasakan semenjak dari usia tamyiz atau dari mula berakal dan sehinggalah menjadi seorang mukallaf, yakni akil baligh. Seterusnya sehingga meningkat ke umur dewasa di mana ia mula mengharungi lautan hidup.

Budi yang luhur dan akhlak yang mulia adalah hasil dari wujudnya iman yang kukuh serta pemeliharaan yang berunsurkan agama. Apabila seseorang pelajar dididik jauh dari aqidah Islam, pelajar itu akan mudah membesar secara tidak bermoral dan jahat. Dia akan menurut hawa nafsu di dalam beberapa perkara. Firman Allah (maksudnya) :

“Dan siapakah yang lebih sesat dari orang yang tunduk kepada hawa nafsunya tanpa ada pimpinan dari Allah.” (Al-Qashash:50).

Kesimpulannya, pendidikan keimanan sebagaimana yang telah dibicarakan dalam keluaran lepas, merupakan satu pendidikan yang dapat membaiki tabiat yang jahat dan membetulkan mana yang salah. Iman inilah yang dapat membetulkan jiwa manusia. Namun demikian pendidikan keimanan ada pertalian dengan pendidikan moral dalam membentuk insan yang soleh. Ahli pendidikan dan ahli sosiologi Islam dan Barat sangat mengambil berat tentang dua unsur ini dan mereka menyimpulkan bahawa tanpa agama tidak akan sempurna ketenangan diri dan tanpa keimanan kepada Allah tidak akan tercapai kebaikan dan tidak akan lurus budi pekerti.

SRIP begitu bersungguh dalam mencapai matlamat ini dengan melaporkan kegiatan pelajar kepada ibu bapa sebanyak dua kali sebulan dengan memuatkan laporan akademik dan keperibadian bagi membentuk kerjasama guru di SRIP dan ibu bapa di rumah dalam menyambung tugasan yang berat diamanahkan oleh Allah. Benarlah sabda Rasulullah s.a.w. (maksudnya) :

“Tiada pemberian yang lebih utama, yang diberikan seorang ayah kepada anaknya daripada akhlak yang baik”

AKTIVITI SRIP

Mesyuarat Guru Besar

Johor Bahru, 3 Julai - Mesyuarat antara guru-guru besar dengan IASB telah diadakan di SRIP Johor Bahru bagi membincangkan antaranya manual pengurusan kurikulum dua dan manual kesihatan. Manual pengurusan kurikulum dua merupakan lanjutan daripada manual pengurusan kurikulum satu yang dibentangkan oleh Eksekutif Akademik itu perlu diperpanjangkan oleh guru besar kepada semua guru SRIP melalui kursus dalaman atau mesyuarat minguan guru-guru. Sementara itu, manual kesihatan pula telah dibentangkan oleh Sdr. Roslan Zainal, Pengurus R&D. Manual ini memuatkan garis panduan keceriaan dan kebersihan SRIP.

MoU SRIP 2000

Julai - Empat syarikat baru telah menandatangani MoU dengan IASB untuk membuka SRIP pada tahun 2000. Upacara tersebut telah diadakan di SRIP USJ-Subang Jaya pada Ahad 11 Julai 1999. Pengarah Urusan IASB dalam ucapan aluannya di majlis tersebut memberitahu bahawa beberapa syarikat lagi dijangka akan menandatangani MoU dengan IAB bagi tujuan yang sama dalam masa terdekat. MoU pada hari tersebut ialah bagi membuka SRIP-SRIP di Muar, Johor; Bandar Baru Bangi, Selangor; Jertih, Terengganu dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. IASB diwakili oleh Pengarah Urusannya, Ustaz Abu Bakar Chik.

Pada majlis sebelumnya, SRIP USJ-Subang Jaya telah dilancarkan dengan rasminya oleh Pengerusi MARA Holdings, Dato’ Mohd Nadzmi bin Mohd Salleh. Turut hadir ialah Pengerusi Lembaga Pengarah Ilmu AMAL Sdn. Bhd. (IASB), Ir. Mustaffa Abdul Kadir. Dalam ucapannya Dato’ Mohd Nadzmi menyarankan agar usaha yang lebih pesat dilaksanakan secara berterusan untuk meningkatkan mutu pendidikan Islam. Justeru itu, SRIP sewajarnya memainkan peranan yang lebih proaktif dalam usaha menyediakan generasi Islam yang mampu menghadapi cabaran pada alaf baru kelak.

Beliau juga mencadangkan supaya SRIP menggunakan kaedah pengurusan KAIZEN dari Jepun yang lebih berkesan iaitu `hari ini mesti lebih baik dari semalam dan hari esok mesti lebih baik dari hari ini’. Majlis tersebut telah disusuli dengan penubuhan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SRIP berkenaan dan pelancaran pendaftaran SRIP bagi tahun 2000. Pameran perkembangan SRIP turut diadakan dengan disertai oleh SRIP Melawati dan lain-lain.

BENGKEL PENILAIAN PENGAJARAN DAN PEMBELAJARAN PERTAMA

Kuala Lumpur, 24 Julai – Bahagian R&D IASB telah menganjurkan bengkel bagi menilai pencapaian dan permasalahan pengajaran kurikulum SRIP bagi setengah tahun 1999. Bengkel yang dikendalikan bersama dengan Panel Pembangunan Korporat IASB ini telah disertai oleh kesemua guru SRIP Melawati di dalam usaha berterusan meningkatkan kualiti dan mencapai tahap kecemerlangan SRIP. Hasil daripada bengkel ini akan diproses untuk dilaksanakan oleh Bahagian Kurikulum SRIP IASB.