PintarNews

Januari 1999 / Ramadhan 1419 * BIL. 12 Tahun 2 *Percuma* Untuk Warga SRIP Sahaja

GURU PENDIDIK TULEN

Sesi pengajian 1999 sudah pun bermula. SRIP melangkah maju setapak lagi dengan pembukaan lapan SRIP baru, suatu jumlah di luar dugaan Ilmu Amal Sdn Bhd (IASB), syarikat yang memiliki dan memajukan projek SRIP ke seluruh negara.

Penubuhan SRIP oleh IASB semenjak dari awal lagi adalah berdasarkan kepada rangka yang tersendiri tanpa terikat sepenuhnya dengan mana-mana model smart school yang diwujudkan samada di Barat atau di Timur. SRIP dibangunkan bagi melahirkan generasi yang memiliki kesimbangan dan kecemerlangan duniawi dan ukhrawi disudut akademik dan sakhsiyyah.

Smart school yang wujud di Canada dengan dibiayai oleh korporat dan syarikat-syarikat swasta menelan belanja jutaan ringgit, menjadikan seluruh penghidupan pelajar di sekolah adalah ditemani dan dipandu oleh komputer. Guru-guru cuma sebagai fasilitator, yang mengawal kelas dan menyelesaikan permasalahan yang timbul.

Apabila konsep Sekolah Bestari diperkenalkan di Malaysia, anggapan umum membayarangkan bahawa ia adalah sekolah yang dipenuhi komputer, internet dan teknologi maklumat terkini.

Konsep pintar SRIP adalah menekankan matlamat Pintar Akal dan Pintar Hati. Ini akan memperlihatkan pembinaan dan pelajar didalam tiga aspek. Aspek-aspek tersebut adalah;

Pembangunan Mental dan Emosi.

Pembangunan Budaya iaitu pembangunan yang meliputi cara hidup yang sihat, cergas dan beretika

Pembangunan intelektual dan maklumat

Aplikasi IT dalam SRIP akan merentasi semua kurikulum SRIP disamping IT menjadi satu subjek(matapelajaran didalam kelas. IT juga di aplikasikan sepenuhnya dalam pentadbiran, pengurusan dan akademik.

Dengan itu, dalam SRIP Guru masih menjadi pendidik tulen didalam membangunkan ketiga-tiga aspek diatas. Para guru SRIP harus menyedari bahawa mereka bukan sekadar mengajar untuk mendapat habuan semata-mata, tetapi adalah pendidik yang akan bertanggung jawab sebagai pengganti kepada ibu bapa. Para guru mesti menghayati semua sifat-sifat mahmudah seorang mu’allim.                                                            

AKTIVITI SRIP

MULA KE SEKOLAH

Januari - Pelajar-pelajar SRIP telah memulakan persekolahan sessi 1999 pada 3 dan 4 Januari. Minggu pertama persekolahan adalah minggu orientasi (taaruf) di mana pelajar akan berkenalan di antara satu sama lain, dengan guru-guru dan lokasi yang terdapat di SRIP masing-masing. Di samping itu, pelajar diberikan arahan dan peraturan-peraturan bilik darjah, dewan makan dan menggunakan bilik air dengan betul. Pada hari pertama persekolahan, banyak kerenah pelajar yang terpaksa dihadapi oleh guru-guru. Senario ini adalah biasa tetapi insya-Allah semuanya akan berjalan dengan teratur selepas minggu kedua persekolahan.

MESYUARAT GURU BESAR

27 Disember - Mesyuarat guru-guru besar SRIP kali pertama telah diadakan bertempat di pejabat IASB Taman Melawati, Kuala Lumpur. Mesyuarat tersebut diadakan bagi membincangkan manual pentadbiran, pengurusan kurikulum dan persiapan terakhir sebelum sesi pengajian 1999. Hasil daripada mesyuarat itu, IASB telah membuat ketetapan di dalam beberapa perkara antaranya pengunaan nama-nama kelas bagi keseragaman di seluruh negara. Mesyuarat seperti ini akan diadakan dari masa ke semasa bagi menyelaraskan dan mengawal kualiti pengurusan dan perjalanan SRIP.

CUTI RAYA

SRIP akan bercuti menyambut Hari Raya Aidil Fitri selama sembilan hari bermula 15 hingga 23 Januari 1999 bagi SRIP Pantai Timur dan Utara. Sementara SRIP lain pada 16 hingga 24 Januari 1999. Sempena dengan perayaan ini IASB mengucapkan :

 

Selamat Menyambut Hari Raya
Maaf Zahir Dan Batin