PintarNews

Februari 1999 / Zulkaedahl 1419 * BIL. 14 Tahun 2 *Percuma* Untuk Warga SRIP Sahaja

KAEDAH PENDIDIKAN SRIP

Penubuhan SRIP sebenarnya mengikut perkembangan pendidikan terkini. Sebelum daripada ini, pelajar-pelajar yang berumur lima hingga enam tahun dihantar ke pusat-pusat pengajian pra-sekolah. Setelah mereka berumur tujuh tahun, maka perpindahan ke sekolah sebenarnya pun berlaku. Perubahan ini sebenarnya menjejaskan matlamat pendidikan yang dicita-citakan oleh ibu bapa di samping berlaku gangguan kepada pelajar tersebut. Oleh itu, SRIP memulakan pembelajaran ketika berumur lima tahun sehingga tamat sekolah rendah dengan melalui kurikulum pendidikan Islam, mata pelajaran UPSR dan asas teknologi maklumat (IT).

Sebagai sebuah sekolah yang memulakan persekolahan sepenuh masa peringkat awal kanak-kanak, SRIP menekankan aspek pembinaan emosi serta ketahanan mental, penguasaan ilmu secara talaqi dan pembinaan budaya hidup seharian.

Emosi kanak-kanak perlu dibentuk pada peringkat ini dengan stabil supaya mereka tidak terikat dengan rumah di samping disiplin mumayyiz, iaitu membezakan suci dengan najis dan baik dengan buruk. Perkara ini sangat penting terutamanya dalam melakukan ibadah di tahap mereka iaitu solat lima waktu. Di samping itu, pelajar juga ditanam dengan sifat cinta kepada suasana belajar bukannya belajar kerana dipaksa. Cara ini akan memberi kesan positif pada masa depan pelajar.

SRIP juga menjalankan kaedah penguasaan ilmu secara talaqi, iaitu pelajar mengikuti kandungan pelajaran dari guru secara mulut ke mulut tanpa membaca teks terlebih dahulu. Inilah kaedah penerimaan al-Quran oleh Rasulullah SAW daripada malaikat Jibril. Kaedah ini memberi ingatan yang lama kepada penghafalnya. Firman Allah yang bermaksud ;

"Oleh itu, apabila kami telah menyempurnakan bacaannya kepada mu wahai Muhammad dengan perantaraan Jibril, maka bacalah menurut bacaan itu."

Surah al-Qiamah : 18

Pengawalan dan pembinaan budaya hidup seharian dalam pembinaan peribadi amat ditekankan di SRIP. Pelajar diasuh dengan budaya Islam dari segi pergaulan dengan guru, tetamu dan sesama mereka di samping adab-adab Islam yang murni. Usaha-usaha ini sedang giat dijalankan ke arah menghasilkan masyarakat SRIP yang bermoral dan berdisiplin.

Pintar News

A K T I V I T I   S R I P 

KAEDAH AL-QURAN & HAFALAN

Februari - Bahagian Kurikulum telah menetapkan pembahagian masa antara penggunaan buku Iqra’ dan hafalan al-Quran. Tiga masa seminggu hendaklah digunakan untuk pembacaan buku Iqra’ manakala lima masa untuk hafalan secara talaqi. Ini menjadikan jumlah keseluruhannya lapan masa. Di samping itu, pembahagian kumpulan perlu dibuat berdasarkan buku-buku yang dipelajari. Dalam erti kata yang lain, penggunaan buku Iqra’ adalah berdasarkan kepintaran pelajar menguasainya. Mana-mana pelajar yang menamatkan buku Iqra’ akan membaca juzuk Amma secara bertajwid. Selepas itu, pelajar tersebut akan memberi tumpuan menghafal al-Quran sepenuhnya.

PENAZIRAN UTARA DAN SELATAN

Februari - Pengarah Urusan, Ustaz Haji Abu Bakar dan Pengurus Kurikulum, Ustazah Zaitun telah melakukan penaziran di SRIP-SRIP sebelah utara, iaitu SRIP Ipoh, Sungai Petani dan Permatang Pauh manakala Eksekutif Akademik, Ustaz Ahmad Kamal pula membuat penaziran di bahagian selatan iaitu SRIP Johor Bharu, Batu Berendam dan Port Dickson. Ini adalah penaziran pertama semenjak operasi sesi pengajian 1999. Dalam penaziran hampir dua jam di setiap SRIP, antara aspek yang dinazirkan ialah perguruan, pencapaian pelajar, kebajikan pegawai dan kelancaran pentadbiran. Beberapa tunjuk ajar dan nasihat telah disarankan oleh IASB kepada SRIP-SRIP demi kecermerlangan pada masa-masa akan datang. Penaziran akan dilakukan tiga kali dalam masa setahun di setiap SRIP.

FORUM PENDIDIKAN PINTAR

Februari - Bahagian Pembangunan dan Penyelidikan (R&D) IASB menyediakan forum bagi ibu bapa dan masyarakat yang prihatin kepada pembangunan sistem pendidikan Islam untuk memberi aduan, pandangan atau kritikan membina mengenai SRIP. Forum ini adalah sebahagian usaha untuk meningkatkan kualiti SRIP dari semua sudut. Hantarkan idea dan aduan terus ke e-mel kami.