Make your own free website on Tripod.com

HUKUM-HUKUM KELONGGARAN KETIKA KECEMASAN DALAM PERUBATAN

Daniel Zainal Abidin

Muqaddimah
Hukum Islam ada banyak bahagian-bahagiannya jika hendak diperincikan. Satu daripadanya ialah hukum azimah dan rukhsah. Hukum azimah ialah hukum pokok ataupun asal yang telah disyari'atkan oleh Allah, umpamanya tentang kefarduan puasa Ramadhan keatas setiap mukallaf.
Hukum rukhsah ialah hukum keringanan yang disyari'atkan oleh Allah dalam keadaan- keadaan tertentu (iaitu ketika dharurat) seperti harus berbuka puasa Ramadhan ketika sakit. Kita diwajibkan beramal dengan hukum-hukum azimah melainkan jika wujud suasana ataupun keadaan yang mengharuskan kita beramal dengan hukum-hukum rukhsah.
Namun sebelum hukum-hukum rukhsah diambil perlulah dipastikan terlebih dahulu bahawa seseorang itu sedang menghadapi keadaan dharurat. Oleh itu perlulah kita memahami terlebih dahulu keadaan-keadaan yang disebut sebagai dharurat itu. Doktor Wahbah Azzahili telah menulis: "Telah berkata Al Jurjani di dalam 'Takrifat': Dharurat ialah kesusahan yang memudharatkan iaitu bencana yang tidak ada sesuatu yang boleh mencegahnya.!"
Dan banyak definisi-definisi yang mempunyai maksud yang hampir-hampir sama yang disebut oleh ulama-ulama dahulu. Di antaranya apa yang disebutkan oleh Abu Bakar Al Jassas tentang dharurat kelaparan: "Dharurat ini ialah takutkan kemudharatan menimpa, atau kemusnahan ke atas diri, atau sebahagian daripada anggota-anggota badan di waktu kelaparan..."
Dan telah berkata ulama-ulama Maliki: "Dharurat ialah takut keatas kehancuran diri secara pasti (qathi) ataupun berpandukan andaian yang kuat (zhan), atau takutkan kematian. Dan tidak disyaratkan menanti sehingga maut datang menimpa akan tetapi cukuplah dengan hanya berpandukan kepada perasaan takut akan berlaku kehancuran walaupun dengan andaian yang kuat (iaitu zhan)."
Kemudian Doktor Wahbah Azzahili merumuskan: "Dharurat ialah keadaan yang menimpa seseorang insan di dalam bentuk kemerbahayaan, atau kesusahan yang mendesak sehingga ditakuti berlakunya kemudharatan, ataupun kesakitan ke atas diri, atau anggota badan, atau kehormatan, atau akal, atau harta benda dan yang sehubungan dengannya. Dan diharuskan ketika itu mengambil benda-benda yang haram ataupun meninggalkan yang wajib ataupun menangguhkannya dari waktunya semata-mata untuk menolak kemudharatan-kemudharatan daripada menimpa di bawah naungan syari'at."
Sekiranya hukum-hukum rukhsah ini tidak wujud di dalam Islam dan penekanan hanyalah kepada hukum azimah (hukum asal), pasti umat manusia akan hancur binasa ketika berlakunya kecemasan (dharurat). Tetapi syari'at Islam tidak seperti itu. Di waktu dharurat (kecemasan) syari'at memberi kelonggarankelonggaran tertentu, itupun mengikut kadar-kadar yang tertentu juga.

Perhatikanlah ayat ini:

"Sesungguhnya diharamkan kepada kamu bangkai dan darah dan daging babi
dan apa-apa yang disembelih untuk yang lain daripada Allah. Tetapi sesiapa yang
terpaksa tanpa ada kecenderungan dan tanpa melampui batas, maka tidak ada dosa
keatasnya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. "
(Al Baqarah: 173)
Perkara penting yang dapat kita kutip daripada ayat ini ialah, benda-benda yang diharamkan ini diharuskan pada ketika terpaksa. Itupun tanpa melampui batas.
Daripada ini lahirlah dua kaedah syari'yah yang penting untuk kegunaan umat di dalam kehidupan mereka.

Kaedah pertama ialah:

"Kecemasan (dharurat) mengharuskan yang haram."
Akan tetapi pengambilan benda-benda yang haram dimasa dharurat dibatasi dengan kaedah yang kedua, iaitu:-

"Dharurat diambil sekadar keperluan sahaja."
Menggunakan benda yang haram melebihi kadar keperluan dimasa dharurat adalah berdosa. Begitulah juga di dalam perubatan Islam, pada ketika-ketika dharurat dan kecemasan boleh digunakan benda-benda dan cara-cara yang haram sekadar keperluan. Ini telah berlaku di zaman Ar-Rasul.

Mengikut hadis dari Anas bin Malik:

"Rasulullah telah memberi kelonggaran kepada Abdul Rahman ibn Auf dan Zubair ibn Awwam memakai sutera, kerana penyakit gatal yang menimpa mereka."
(Bukhari dan Muslim)
Walaupun sutera pada dasamya haram dipakai oleh muslimin lelaki, tetapi jika tidak ada cara-cara yang halal yang dapat mengubati sesuatu penyakit, ianya harus digunakan. Ini menunjukkan keharusan berubat dengan cara yang haram di peringkat kecemasan selepas hilang ikhtiar-ikhtiar lain.
Namun mestilah diingat, bahawa tidak boleh kita dengan senang menggunakan benda ataupun cara yang haram bertopengkan dharurat (kecemasan) sebelum berikhtiar mencari yang halal dengan bersungguh-sungguh,

Syarat-Syarat Dalam Pengambilan Hukum Rukhsah Ketika Dharurat.

Keharusan mengambil hukum rukhsah ketika dharurat bukan boleh dilakukan sewenang- wenangnya tanpa sebarang kaedah.
Di antara syarat-syarat penting yang mesti dijaga ialah:
1) Bahawa keadaan dharurat itu benar-benar berlaku, bukan sesuatu yang dinanti- nantikan. Maksudnya telah wujud suatu keadaan di mana kemusnahan ataupun kehancuran akan menimpa keatas diri ataupun harta benda secara pasti, ataupun berpandukan Sangkaan yang kuat berdasarkan pengalaman-pengalaman. Ataupun telah benar-benar wujud suatu keadaan yang akan merosakkan dan menghancurkan satu diantara lima perkara dharuriyat yang telah disebutkan: samada agama, nyawa, akal, keturunan, ataupun harta benda. Ketika ini barulah hukum rukhsah boleh diambil.
2) Telah dipastikan bahawa tidak ada benda-benda halal yang lain Yang boleh diambil melainkan yang haram sahaja.
3) Jika masih ada benda-bendayang halal, mestilah dipastikan bahawa pengambilan benda-benda yang halal tidak akan dapat mengindarkan kemudharatan dan kehancuran daripada menimpa si pesakit.
4) Bahawa seseorang yang terpaksa itu tidak dibolehkan melanggar pnnslp-pnnsip Islam yang asasi, umpamanya, mejaga hak orang lain, menunaikan amanah dan lain-lainnya. Umpamanya tidak dibolehkan seseorang yang terpaksa itu berzina, membunuh, merompak untuk menghilangkan kemudharatan yang menimpa.
5) Hendaklah pengambilan yang haram itu sekadar perlu sahaja, untuk menghilangkan dharurat yang menimpa. Tidak boleh lebih.
6) Pada waktu pengubatan, pengambilan yang haram ketika dharurat mestilah dipastikan oleh seseorang doktor yang adil, yang dipercayai tentang agama dan ilmunya.

ISU 1: Hukum Berubat Dengan Benda Yang Haram

Tajuk ini perlukan perincian. Sebelum kita melihat kepada ijtihad ulama-ulama tentang perkara ini, marilah kita melihat kepada hadis ini.
"Beberapa orang telah datang ke Madinah. Oleh kerana tidak begitu sesuai dengan cuaca di situ meraka telah diserangi penyakit. Ar-Rasul lantas menghantar mereka ke tempat unta-unta sedeqah disimpan seraya bersabda: "Minumlah dari susunya dan dari air kencingnya."
(Bukhari)
Berhubung dengan hadis ini, Imam Qastalani di dalam kitab 'Irsyadus Sari' telah berkata: "Dan telah berkata Imam Syafie dan Abu Hanifah dan jumhur ulama-ulama Islam, air kencing adalah najis kesemuanya melainkan yang dimaafkan. Ditakwilkan hadis ini sebagai harus meminumnya kerana ubat dan tidak harus tanpa dharurat. Adapun hadis Ummu Sulaim di mana Ar-Rasul telah bersabda:"Sesungguhnya Allah tidak menjadikan ubatdaripada bahan yang diharamkanNya." Ditafsirkan didalam waktu iktiar. Pada waktu dharurat, harus menggunakannya (iaitu benda benda haram) seperti mana bangkai diharuskan untuk yang terpaksa!"
Jelas dengan hadis ini tentang keharusan menggunakan najis seperti air kencing unta (yang dihukumkan najis oleh kebanyakan ulama) ketika berubat di waktu dharurat.
Di dalam 'Al Hidayah Al Alaiyah' ada disebutkan: "Harus berubat dengan yang haram, jika diyakini bahawa ia boleh menyembuhkan dan ketika tidak ada ubat-ubat lain. Adapun dengan sangkaan semata-mata(iaitu tidak yakin), tidak diharuskan. Dan perkataan seorang tabib semata- mata tidak membawa kepada sesuatu yang yakin."
Di dalam kitab 'Mughni Muhtaj' ada disebutkan: "Harus berubat dengan najis seperti daging ular dan air kencing untuk mencepatkan kesembuhan dengan syarat tabib yang memberikan ubat itu mestilah seorang Muslim yang adil ataupun yang berpengetahuan tentang cara pengubatan dengan menggunakannya, asalkan kadar yang digunakan sedikit sahaja dan tidak sampai memabukkan."
Imam Al Izz ibn Abdul Salam di dalam kitab'qawaidul Ahkam' telah berkata: "Harus berubat dengan najis-najis jika tidak didapati ubat-ubat yang bersih sebagai pengganti, sebat maslahat sembuh dan kesejahteraan lebih menyempurnakan daripada maslahat meninggalkan penggunaan najis."
Adapun tentang daging babi, ada ulama-ulama yang tegas di dalam memberi hukum. Di dalam kitab 'Al Hidayah Al Alaiyah' ada disebutkan: "Adapun daging babi, tidak diberikan kelonggaran untuk berubat, walaupun dia saja yang ditentukan sebagai ubat."
Telah berkata Sahnun di dalam tafsir Qarthubi: "Tidak boleh berbuat dengan babi."
Adapun tentang pengubatan dengan menggunakan arak ketika dharurat telah berkata Imam Al Izz ibn Abdul Salam:'Tidak harus berubat dengan arak mengikut pendapat yang lebih sahih melainkan jika diketahui ia dapat menyembuhkan dan tidak ada ubat-ubat lain."
Di dalam kitab 'Al Bahru Al Zukhar' telah disebutkan: "Yang lebih hampir ialah harus berubat dengan arak jika dikhuatiri si pesakit akan binasa ataupun akan binasa salah satu daripada anggota-anggota badannya yang dapat dihindarkan jika penyakitnya dapat disembuhkan."
Di dalam 'Arraudhah' telah tertulis: "Harus berubat dengan arak kerana dharurat secara mutlak."
Telah berkata Imam Abu Hanifah: "Harus berubat dengan arak dengan meminumnya!" Pendapat ini disokong oleh Qadhi Attabari dari mazhab Syafie dan Imam Atthauri.
Sheikh Abdullah Nasih Ulwan telah merumuskan: "Nas-nas yang diutarakan merupakan dalil-dalil yang jelas tentang keharaman penggunaan arak seperti untuk berubat. Adapun setengah-setengah ubat yang terpaksa dicampurkan dengan alkohol kerana dharurat untuk memeliharanya daripada rosak umpamanya, adalah harus menggunakannya untuk berubat sekira diketahui bahawa sesuatu hanya boleh baik dengan menggunakannya. Tetapi ini mestilah dipastikan oleh seorang doktor muslim yang mahir, yang takut kepada Allah masa tersembunyi ataupun berterang-terangan.''
Untuk memperincikan fatwa-fatwa yang telah dinukilkan, elok rasanya kita mengamati bahan-bahan yang telah dituliskan oleh Doktor Abdul Karim Zaidan: "Ulama-ulama fiqh telah memberi pandangan-pandangan mereka tentang masalah pengubatan dengan benda yang diharamkan Allah, samada daripada bahan bernajis ataupun bahan-bahan yang tidak bernajis yang lain. Ada diantara mereka yang melarangnya, ada yang mengharuskan, dan ada pula yang memperincikan hukumnya. Bagi tiap-tiap pandangan yang mereka utarakan ada dalil-dalilnya ......."
Kemudian beliau memperincikan perkataan ulama-ulama berhubung dengan perkara ini: "Disini mazhab Hanafi: diharuskan berubat dengan yang haram jika diyakini tentang kesembuhannya, yang akan berlaku. Sekiranya tidak, tidak harus berubat dengannya. Telah berkata Imam Al Kasani di dalam 'Badai' nya: "berubat dengan yang haram harus ketika diyakini kesembuhannya sama seperti (keharusan) memakan bangkai ketika kelaparan dan meminum arak ketika tersangat dahaga dan untuk menghilangkan suapan yang terlekat di kerongkong. Dan tidak harus jika tidak diyakini kesembuhan dengannya......"
Dan disisi mazhab Syafie: mereka membezakan diantara arak bahan-bahan haram yang lain. Di sisi mereka, harus berubat najis-najis dan bahan-bahan haram yang lain melainkan Inilah pandangan mazhab itu dan inilah yang diputuskan oleh ulama Syafie..!

Adapun arak, mereka mengharuskannya ketika hendak menghilangkan suapan yang terlekat di kerongkong jika tidak ada bahan-bahan lain yang suci! Akan tetapi mereka bertelingkah pendapat tentang keharusan berubat dengannya dan dengan bahanbahan yang memabukkan yang lain. Jumhur ulama Syafie tidak mengharuskannya· Pandangan mereka ini adalah pendirian mazhab dan yang sahih disisi mazhab Syafie. Kami berkata, sesungguhnya meminum arak dan bahan yang memabukkan dilarang oleh jumhur ulama Syafie dan diharuskan oleh segelintir yang lain.

Adapun yang zahir dari perkataan ini, yang dilarang oleh Imam Syafie ialah meminumnya sehingga kadar yang memabukkan. Dan perkataan jumhur ulama Syafie yang melarang berubat dengan arak dan bahan-bahan yang memabukkan maksudnya, pada pengamatan kami diharuskan diatas kadar yang tidak memabukkan bukan diatas kadar yang memabukkan. Adapun ulama-ulama: Syafie yang mengharuskan berubat dengan arak, membawa makna, mereka mengharuskannya, samada ianya memabukkan atau tidak sampai memabukkan.
Selepas mengkaji dan memperincikan perbezaan pendapat ini, kami berpendapat bahawa perbezaan ini suatu perbezaan yang kurang penting. Ini disebabkan kebiasaannya (dimasa ini), kewujudan arak di dalam ubat-ubat adalah didalam kadar yang sedikit, dan jarang- jarang sekali diambil dan jika diambil pun amat sedikit sekali tidak sampai memabukkan. Lantas meminumnya ketika diperlukan adalah diharuskan......!
Kemudian beliau membincangkan penggunaan ubat-ubat Yang bercampur dengan alkohol yang banyak terdapat di masa ini. Katanya: "Terdapat ubat-ubat Yang dicampuri di dalamnya bahan-bahan alkohol dan bahan-bahan yang boleh memabukkan Yang lain. Adakah harus kita mengambilnya ataupun tidak? Jawapannya: Jika pada ketika kesakitan yang ditahap dharurat, diharuskan dengan syarat-syarat yang telah disebutkan. Adapun jika tidak sampai ketahap dharurat, umpamanya wujud sesuatu hajat pada penggunaan ubat-ubat ini, dan tidak sampai ke tahap dharurat, adakah diharuskan juga? Yang zahir bagi saya ialah diharuskan. Ini dikiaskan pada apa yang difatwakan. Umpamanya oleh AUtasani di dalam'Al Badai': "Sesungguhnya najis sekiranya berubah dan bertukar sifat-sifat dan maknanya, maka terkeluarlah ia dari kenajisannya..."
Dan telah berkata Ibn Hazmin: "Sekiranya telah berubah sifat asal sesuatu bahan najis ataupun haram, maka terbatallah namanya yang asal yang telah ditetapkan hukumnya dan jadilah ia bahan lain yang halal dan suci.......! Dengan itu alkohol dan bahan yang memabukkan yang lain andaikata dicampurkan sedikit di dalam ubat sehingga ia melarut di dalamnya sehingga hilang kesannya, baunya dan rasanya maka hukumnya adalah sama seperti hukum najis yang bertukar sifatnya.......!
Adapun tentang hukum menggunakan bahan-bahan bius (anasthesia), umpamanya untuk pembedahan, telah berkata ulamaulama Hanafiyah: ".........Dan tidak -- ada kesalahan meminum sesuatu yang menghilangkan akal untuk memotong kudis yang memakan badan (gangrenous ulcer) dan yang sehubungan dengannya." Dengan ini jelaslah keharusan menggunakan alat-alat dan ubatubat bius untuk pembedahan, walaupun ianya menghilangkan akal.
Satu persolan yang sering dihadapi oleh doktor-doktor sekarang ialah, adakah harus memberikan ubat-ubat yang diharamkan bahan- nya kepada pesakit, semata-mata untuk mencepatkan kesembuhan- nya? Telahberkata Dr. Abd. Karim Zaidan: "Sekiranya ketentuan ini dibuat oleh seorang doktor muslim yang adil, maka telah berkata Imam Annawawi: Tentang keharusannya ada dua pandangan...... Dan yang paling sahih ialah diharuskan. Dan sesungguhnya Im- am Syafie telah menegaskan tentang keharusannya di dalam hal ini, daripada perkataannya di dalam Al Umm." 75
Moga-moga bahan-bahan ini akan memanfaatkan kita bersama.

Kesimpulannya:

Tidak harus berubat dengan bahan-bahan yang telah diharamkan disetiap keadaan. Wajib berikhtiar untuk men- dapat ubat yang halal ketika berubat.
Keharusan untuk berubat dengan benda yang haram hanyalah pada ketika dharurat: iaitu ketika diyakini sipesakit akan binasa atau pun akan binasa salah satu daripada anggota-anggotanya, jika tidak diubati dengan menggunakan benda-benda haram kerana sudah tidak ada ubat-ubat lain.

iii) Keharusan ini hanyalah setakat kadar yang diperlukan un- tuk menyembuh penyakit sahaja.

iv) Ketentuan tentang keadaan dharurat untuk menggunakan benda-benda yang haram mestilah ditentukan oleh seorang doktor Muslim yang adil, serta mahir didalam bidang perubatan.

v) Kesemua ini memerlukan satu lagi syarat, iaitu umat Islam mestilah berusaha untuk mewujudkan ubat alternatif yang halal dengan berusaha bersungguh-sungguh.

iv) Harus juga berubat dengan yang haram jika diyakini ini akan mencepatkan kesembuhan sesuatu penyakit.

ISU 2: Merawati Yang Bukan Mahram Dan Melihat Auratnya.

Islam mengharuskan seseorang merawati yang bukan mahram dan melihat auratnya pada ketika dharurat,
Nas berhubung dengan ini ialah riwayat dari Rubayyi' binti Muawwiz. Katanya:
"Kami telah ikut berperang bersama Rasulullah dan bertugas melayani dan memberi minum tentera-tentera (yang luka) dan menghantarkan jenazah dan orang-orang luka ke Madinah."
(Bukhari)

Di dalam riwayat yang lain

"Ummu Salamah telah meminta izin kepada Ar-Rasul untuk berbekam, maka Ar-Rasul pun menyuruh Abu Thaibah untuk melakukan bekam itu."
(Bukhari)
Telah berkata Al Hafiz di dalam kitab Al Fatah': "Diper- bolehkan mengubati orang-orang berlainan jenis di waktu dharurat.
Dan hal-hal yang berhubungan dengan melihat, memegang dengan tangan hendaklah dilakukan sekadar perlu sahaja." 76
Berkata Ibn Hamdan: "Jika tidak ada yang akan mengubati seseorang pesakit lelaki melainkan doktor wanita, ia boleh melihat pada anggota pesakit yang perlu dilihatnya, walaupun pada. kemaluannya." 77
Walau bagaimanapun ulama-ulama Islam telah meletakkan beberapa syarat berhubung dengan keharusan doktor lelaki merawati pesakit-pesakit wanita yang bukan mahram (dan begitulah sebaliknya). 78

i) Doktor berkenaan mestilah bertakwa, beramanah, adil dan mempunyai ilmu dan kemahiran.

ii) Jangan dibuka dan dilihat kepada anggota lain yang tidak diperlukan.

iii) Tidak ada doktor wanita lain yang dapat mengambil alih tugas seseorang doktor lelaki itu samada kerana ilmunya atau pengkhususannya.

iv) Di masa proses pengubatan mestilah hadir bersamanya mahramnya, atau suaminya ataupun wanita lain yang dipercayai.

v) Janganlah dirawati oleh seorang doktor lelaki kafir sedangkan masih ada seorang doktor lelaki Muslim.

Sesungguhnya kesemua ini tidak akan dapat dilaksanakan jika tidak wujud kesedaran Islam yang mendalam di kalangan umat masa kini.

ISU 3: Hukum Pengguguran dan lain-lain.

Begitulah juga dengan perkara-perkara yang lain seperti masalah pengguguran anak, boleh dilakukan ketika dharurat seperti ketika siibu sedang mengidap penyakit-penyakit yang mengancam nyawanya yang memerlukan pengguguran dilakukan.
Begitulah juga dengan masalah memasukkan darah orang- orang kafir ke dalam badan orang-orang Islam. Boleh dilakukan pada ketika dharurat, jika tidak ada pilihan lain. Dan begitulah hen- daknya dengan perkara-perkara kecemasan yang lain.
Walaubagaimanapun ketetapan bahawa sesuatu itu telah sam- pai ke tahap dharurat yang memerlukan hukum-hukum rukhsah mestilah ditentukan oleh seorang doktor Muslim yang adil dan mahir.